--
Aset perlu dikenal pasti
KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 terlebih dahulu perlu mengenal pasti jenis aset yang diperlukan apabila memasuki fasa baru pencarian, sebelum boleh memuktamadkan perkara berkaitan kos, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata, beliau bersyukur kerana Australia, yang sedang mengetuai operasi mencari pesawat itu di selatan Lautan Hindi dan negara lain, tidak membangkitkan isu kewangan sejak bermulanya operasi itu.
"Tetapi, apabila kami bergerak ke fasa seterusnya nanti, amat perlu bagi kami untuk duduk berbindang dan menyelesaikannya. Bagaimanapun, itu akan hanya diketahui setelah kami tahu apa sebenarnya aset yang kami perlukan untuk tugas mencari yang bagaimana, dan di mana.
"Ia memerlukan kami duduk bersama untuk berbicang semula serta menyusun kembali strategi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Ia memerlukan kami duduk bersama untuk berbicang semula serta menyusun kembali strategi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar di Canberra pagi ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata, usaha mencari pesawat itu kini memasuki fasa baru, yang akan memberi fokus di kawasan pencarian di dasar laut jauh lebih luas.
Kata beliau, fasa itu akan melibatkan khidmat kontraktor komersial yang berkepakaran tinggi dalam kerja mencari di laut dalam serta dijangka menelan belanja lebih kurang AUD60 juta (RM184 juta).
Abbott berkata Australia akan mendapatkan 'beberapa sumbangan sewajarnya' daripada negara lain yang terlibat dalam operasi mencari ini.
Ditanya tentang pertemuan beliau dengan Pesuruhjaya Tinggi Britain Simon Featherstone, Hishammuddin berkata: "Pada asasnya, komitmen masih ada. Kami perlu memberi jaminan kepada semua orang, bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, bukan sahaja kepada keluarga terbabit, tetapi saya rasa seluruh dunia juga ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Beliau menggesa semua pihak supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan kerana usaha mencari pesawat MH370 masih diteruskan dan diperhebatkan.
"Ia perlu dilakukan secara strategik, seperti yang diamalkan Malaysia sejak mula lagi. Kami perlu melangkah ke hadapan secara teratur. Kami telah buktikan bahawa ia sesuatu yang agak baik memandangkan perjalanan yang perlu ditempuh, masih jauh," katanya.
Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment