Monday, 28 April 2014

Berbaloi! Ini yang dapat diungkap sebaik menonton konsert sulung kumpulan Forteen yang dinamakan 20Forteen di KL Live, Kuala Lumpur petang kelmarin.
Mereka membuktikan bahawa konsert berbayar artis tempatan masih ada nafas untuk mendapat sambutan hebat seperti suatu ketika dulu. 
Maklum saja kegilaan peminat kini hanya dapat disaksikan apabila artis K-Pop dibawa ke sini namun kumpulan naungan KRU Studio itu juga mampu membangkit­kan suasana sedemikian. 

Berlangsung secara meriah bermula 3 petang kelmarin, bakat Ameer, Ariz, Izzue dan One terserlah menerusi konsert sulung mereka yang cukup membanggakan selepas ditubuhkan lebih empat tahun lalu.

Berlatih selama dua bulan termasuk diuji apabila konsert ditangguhkan akibat tragedi pesawat MH370 tidak sia-sia apabila konsert itu dihadiri lebih 1,000 peminat termasuk dari Singapura dan Brunei.

Selama lebih sejam menakluk pentas, paling jelas kelihatan adalah semangat serta betapa bersungguhnya mereka tampilkan persembahan terbaik. Tidak melebih-lebih, tidak cuba menenggelami yang lain dan mereka bersatu dengan cukup baik. 

Penguasaan pentas mereka sememang­nya tersendiri kerana tampil dengan pelbagai karakter masing-masing, gurau senda mereka berjaya mencuit hati. Tidak mahu hadkan pergerakan di tengah pentas saja, mereka tidak ketinggalan menyambut tangan peminat di bawah. 

Banyak saat indah yang jelas ditinggalkan apabila tampil menyanyikan 18 lagu semuanya menerusi segmen berbeza dan paling penting mereka kelihatan begitu ikhlas berseronok di pentas sepanjang konsert itu. 

Dimulakan dengan lagu paling hit mereka iaitu Tidak Pernah Berjumpa, Forteen terus membangkitkan keghairahan demi keghairahan penonton untuk menikmati setiap inci persembahan bermula daripada aksi berempat kepada bahagian solo kemudian bergabung semula. 

Juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu ‘cover’ Skyfall nyanyian asal Adele, lantas sesiapa juga yang hadir petang itu pasti mengakui vokal mereka begitu kuat. 

Percubaan menari dengan kareografi ringkas menerusi lagu Treasure (Bruno Mars) pun tidak mengecewakan. 

Namun benarlah laungan mereka berkali-kali me­nyebut ‘kami bukan penari’ ada signifikannya kerana apa yang dinantikan peminat mahupun pemerhati kumpulan ini tentunya pada vokal masing-masing malam itu. 

Pada segmen mereka tampil solo, barulah terserlah tahap kemampuan serta sisi lain masing-masing dengan Ameer misalnya berjaya gegarkan pentas dengan nyanyian rock mendendangkan lagu medley We Will Rock You dan Nakal. One pula membawa penari zapin me­ngiringinya menyanyikan lagu Irama Malaysia Laksamana Raja Di Laut. 

Tampil berbeza daripada kebiasaan, Ariz yang memang vokalnya lebih terarah kepada lagu balada sebaliknya memilih lagu santai Pencuri nyanyian asal Mark Adam. Izzue juga seperti biasa memilih untuk mencuri tumpuan penonton dengan nya­nyian bersahaja serta gelagat mencuit hati menerusi Untuk Sahabat. 

Bagaimanapun, momen paling mencuri perhatian pastinya ketika Ariz dan Izzue gagal menahan emosi dan menangis menyanyikan lagu Dikau Saja sambil klip mereka mengunjungi sebuah rumah kebajikan ditayangkan di skrin. 

Ditemui sebaik konsert tamat, Izzue mengakui terlalu sebak mengenangkan nasib golongan tidak bernasib baik di rumah itu menyebabkan dia tidak dapat membendung air matanya. 

“Padahal ketika raptai saya okay saja namun bila teri­ngatkan balik wajah mereka yang tidak lekang senyuman sedangkan dengan keadaan begitu lantas mengingatkan saya betapa dalam dunia ini kita perlu sentiasa bersyukur,” katanya. 

Selain itu, sempat membuat persembahan ‘tri­bute’ menyanyikan lagu yang pernah hit tidak lama dulu iaitu Jangan Lafazkan nya­nyian KRU, Hati Terluka (Billy Zulkarnain), Manisnya Se­nyumanmu (Elite) dan Terhangat Di Pasaran (KRU featuring Adam), penonton semuanya naik ‘gila’ nyanyi bersama. 

Meskipun dihadiri rata-ratanya golongan remaja namun tidak ketinggalan penonton dewasa khasnya yang turut bersama pada konsert itu semestinya tergamit memori ketika segmen medley ‘tribute’ itu. 

Forteen menutup persembahan dengan lagu Sepuluh Jari Di Aidilfitri disusuli Kita dan antara lagu lain diper­sembahkan termasuk Berdua Bersatu dan Seperti Dulu. 


Tak puas! 

Bukan saja persembahan itu sendiri yang pastinya menjadikan konsert 20Forteen mencapai kejayaan terbabit, daripada segi teknikal dengan tenaga produksi KRU Studio sendiri dipertang­gungjawabkan melunaskan tugasan itu juga membanggakan. 

Bukan tiada cacat cela, ada sedikit gangguan teknikal pada video dan mikrofon namun tidak begitu ketara serta tidak mengganggu langsung kelancaran konsert berkenaan. 

Gembira dan sememangnya cukup bersyukur semua berjalan lancar, namun mereka berempat masing-masing jelas masih tidak berpuas hati kerana sebolehnya ingin terus menghiburkan penonton lebih lama. 

“Walaupun ada 18 lagu namun sepertinya masa berlalu begitu pantas dan kami sangat seronok di atas pentas. Memang rasa tidak puas apatah lagi melihatkan wajah peminat yang bersorak tidak henti di bawah me­nyemarakkan lagi semangat kami,” kata mereka. 

Cukup segak dan bergaya, daripada segi penampilan keempatnya pun memang tidak kalah gaya petang itu menyarung dua persalinan hasil sentuhan Fairuz Ramdan serta kasut mereka ditaja Que Ariffin. 

Turut diberikan kejutan Presiden Eksekutif KRU Studios selaku Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) Norman Abdul Halim sempat menyampaikan plak peng­iktirafan Anugerah Platinum daripada RIM bagi rekod penjualan digital muat turun terbanyak single ‘Berdua Bersatu’ mereka.

No comments:

Post a Comment