PERTH: Sebuah pesawat penumpang berpatah balik di Lapangan Terbang Perth, pagi ini dan melakukan pendaratan cemas selepas salah satu enjinnya terbakar sebaik berlepas.

Penumpang pesawat Cobham Aviation memberitahu, mereka melihat api marak dan asap dari enjin yang terbakar sebaik pesawat berlepas jam 10.30 pagi waktu tempatan. 
Pesawat bagaimanapun berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Barrow Island. 


Cobham Aviation Services dalam satu kenyataannya berkata, pesawat BAE 146 empat enjin itu kembali ke Lapangan Terbang Perth jam 10.53 pagi.

Katanya, kejadian berlaku ketika pesawat sedang naik ke ruang udara apabila enjin nombor duanya tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian pesawat membawa 92 penumpang, dua juruterbang dan tiga anak kapal dan semua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penumpang pesawat, Jason Grimmett, berkata kejadian berlaku kira-kira 10 minit selepas pesawat berlepas. 
"Saya duduk di sebelah kanan enjin dan tiba-tiba kepulan asap keluar dari enjin.

"Minyak bertaburan di udara sebelum api menyambar dan keadaan panik ketika itu namun juruterbang bertindak pantas untuk menutup saluran minyak," katanya. - ABC News