DUNGUN – Kegembiraan seorang ibu menyambut kelahiran anak kedua tidak kekal lama apabila bayi yang baru dua bulan dilahirkan itu meninggal dunia, pagi kelmarin.

Ahmad Asnawi Asuadi, 2 bulan, dipercayai meninggal dunia ketika ibunya, Nur Atikah Abdul Kadir, 22, sedang menyusukannya selepas dibawa pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Menurut Nur Atikah, bayinya sebelum itu dimasukkan ke wad selama dua bulan untuk rawatan lanjut kerana mengalami masalah kesihatan sejak dilahirkan.

“Ketika sedang menyusu, anak saya tiba-tiba tidak bermaya. Cemas dengan situasi itu, saya bawa dia ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

“Sebaik tiba di Hospital Dungun, doktor mengesahkan bayi saya sudah meninggal dunia. Apa pun saya terima ketentuan ini,” katanya.

Mayat bayi berkenaan yang difahamkan dilahirkan tidak cukup bulan kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan kejadian.