Saturday, 22 March 2014

OPINION

Seksis di kalangan lelaki Melayu

MARCH 22, 2014
Nomy Nozwir
Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.
Ketika saya sedang menikmati juadah tengah hari di sebuah restoran di Pandan Indah, saya terpandang sepasang pasangan yang berkemungkinannya pasangan suami isteri, berdasarkan usia dan berdasarkan cara mereka berbual. Saya melihat si suami sedang menengking dan memarahi si isteri di khalayak orang ramai semata-mata kerana si isteri memesan air minuman yang salah. Pada penglihatan saya, pasangan suami isteri itu mungkin lebih muda daripada saya, dan saya fikir apakah pasangan ini kahwin muda sehinggakan hal sebegini kecil pun boleh jadi topik gaduh?
Tetapi bukan pasangan muda saja yang saya nampak ini berlaku. Pasangan yang lebih tua juga ada masalah begini. Dua tahun lalu, saya terpandang seorang lelaki memarahi isterinya hanya kerana lambat naik LRT di Stesen Bandaraya. Dan hasil pemerhatian saya ini, akhirnya saya merasakan umur bukanlah masalah, tetapi sikap seksis kalangan lelaki Melayu.
Semasa saya menulis novel saya berjudul "Lelaki Eksistensial", saya sedang melakukan eksperimen terhadap apa pandangan orang ramai terhadap novel ini. Sementara ada ramai yang mengatakan buku ini seksis kerana dilihat merendah-rendahkan wanita, beberapa rakan yang rapat dengan saya melihat ini sebaliknya. Saya sedang menduga apakah benar pandangan saya bahawa kebanyakan lelaki Melayu ini seksis?
Dalam novel tersebut, dari 300 muka surat, 295 muka surat dalam cerita itu menceritakan seorang watak lelaki tidak bernama dan empat kekasihnya, serta pandangan dirinya (bukan saya) terhadap dunia. Seorang yang tidak mengenali ibu bapanya, dan semasa usia kecil menjadi mangsa seksual bapa saudaranya, lelaki ini membesar dalam keadaan terumbang-ambing dan jadi berjaya apabila menemui seorang wanita yang melihat potensinya.
Dalam novel itu juga menceritakan tentang pandangan beliau terhadap Melayu pasca-DEB, serta proses bagaimana Melayu pasca-DEB ini terbentuk, serta bagaimana mereka ini terus ada di dalam dunia pasca moden yang mementingkan imej visual. Saya juga menulis sedikit pandangan Peter Kropotkin, dari Noam Chomsky dan Mihaly Csikszentmihalyi, serta beberapa ahli falsafah wanita seperti Rosa Luxembourg atau Emma Goldman.
Hanya 5 muka surat sahaja saya berceritakan tentang hubungan seksual. Ternyata hanya lima muka surat itu sahaja yang diberi tumpuan dan menjadi topik kontroversi tentang buku indie menulis novel lucah, katanya (saya bukan penulis buku indie, maafkan saya untuk betulkan fakta) yang hangat satu ketika dahulu.
Dalam novel tersebut, saya menulis watak lelaki tidak bernama itu seolah-olah mempermainkan perasaan semua wanita yang mencintainya. Apa yang saya tidak ceritakan ialah bagaimana lelaki itu sebenarnya lemah dan hidupnya dikuasai oleh wanita-wanita yang menjadi pasangannya. Sama ada ego seorang lelaki, atau sebenarnya sistem pembudayaan patriarki dalam masyarakat kita menyebabkan ramai orang tidak nampak perkara ini.
Jadi, berbalik kepada isu, kenapa ini berlaku? Jawapannya ialah kita boleh lihat sendiri pengaruh daripada pendidikan dan hiburan dalam masyarakat negara ini. Kebanyakan orang Melayu bersetuju bahawa "perempuan perlu dilindungi kerana mereka golongan yang lemah". Pasifikasi emansipasi wanita ini sebenarnya berlangsung sejak zaman bangku sekolah lagi. Walaupun di dalam sekolah secara peratusnya pelajar wanita selalu mengatasi pelajar lelaki daripada segi pendidikan, namun lelaki sering diberi jawatan lebih tinggi seperti presiden persatuan, ketua pengawas, ketua pengawas pusat sumber atau ketua darjah.
Dan apabila kita dewasa ia ditambahkan lagi dengan pendoktrinasian patriarki, seperti golongan ulama dan agamawan yang sering menitikberatkan soal aurat wanita daripada pendidikan seksual yang mendidik lelaki untuk menghormati wanita. Golongan ini sering berhujah bahawa "kes rogol meningkat kerana kegagalan wanita memakai pakaian menutup aurat". Kegagalan wanita menutup aurat, atau kegagalan lelaki menahan libidonya?
Kenapa kes rogol di negara-negara seperti Pakistan dan Sudan sangat tinggi berbanding kes rogol seperti di Sweden atau Norway?
Sebagai seorang lelaki, saya tidak bersetuju dengan "perempuan perlu dilindungi kerana mereka golongan yang lemah". Bagi saya, perempuan tidak perlu dilindungi, sebaliknya lelaki yang perlu belajar untuk menghormati wanita. Saya melihat wanita sepatutnya mendapat tempat lebih tinggi daripada apa yang mereka ada sekarang, sebab saya sendiri sebagai seorang lelaki - dilahirkan daripada rahim seorang wanita.
Dengan siri-siri drama televisyen, filem dan novel - yang mengangkat seorang perogol sebagai hero - ini juga sebenarnya tidak membantu untuk menjadikan golongan wanita diangkat setaraf dengan lelaki. Berbanding Lelaki Eksistensial yang sebenarnya secara tidak langsung 'menunjukkan kelemahan lelaki itu sendiri dengan watak lelaki tersebut bergantung harap kepada kekuatan seorang wanita'.
Baru-baru ini, saya ternampak komen di Facebook yang agak mengganggu saya mengenai isu ini. Dalam komen tersebut lelaki tersebut mengatakan "dia benci seorang perempuan yang kurang ajar". Bagaimana pula dengan lelaki kurang ajar, apakah dia akan benci juga?
Saya juga tolak tepi segi parti politik mana yang dia sokong, tetapi yang lebih mengganggu saya ialah komen seterusnya yang bertulis "Muka kalau cantik, takpe, ini muka macam tikus". Apakah hanya perempuan cantik sahaja yang dibenarkan untuk kurang ajar?
Melihat kelebihan kepada seorang wanita dengan hanya berdasarkan kecantikan semata-mata bagi saya adalah sesuatu yang seksis. Ya, lelaki mana yang tidak sukakan wanita yang cantik, tetapi itu bersifat kosmetik. Apa yang penting ialah kekuatan di dalam wanita itu sendiri.
Dan pembetulan kepada mereka yang mengatakan Lelaki Eksistensial adalah seksis, novel ini tidak pernah mengangkat seorang perogol menjadi hero. Mungkin lebih baik anda semua fokuskan apa yang ditulis lagi 295 muka surat itu.
Lelaki perlu sedar bahawa ini adalah masalah yang besar untuk kita. Sudah tiba masanya untuk lelaki berfikir bahawa kedua-dua jantina sama kuat, sama lemah dan saling memerlukan. Tidak kisah walau apa pun jantina atau seksualiti anda, kita semua adalah daripada spesis yang sama - Homo Sapiens. Tidak perlu mendabik ego bahawa "lelaki perlu lebih kuat" atau "wanita daripada tulang rusuk kiri lelaki" kerana hakikat yang sebenarnya - lelaki daripada rahim wanita, dan melahirkan seorang anak perlu kekuatan yang sangat kuat. Dan ini adalah fakta - yang semua orang tahu.
Tolonglah terima hakikat. – 22 Mac, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

COMMENTS (2)

Login or signup now to comment.
I have the same thought. Lelaki melayu rata - rata memang seksis. Tapi, saya juga kurang setuju hal ini, kerana wanita juga ada sifat ini di kalangan mereka sendiri. 
Bercakap tentang sikap ini, boleh bawa ke debat yang tak sudah. Pokoknya, ianya datang dari sifat yang di terap dari kecil dan kadang - kadang, komuniti. 

Cuba lihat situasi yang sama berlainan jantina dalam hal ini. 
A: Suami saya seorang CEO di bank terkemuka di Malaysia 
B: Isteri saya seorang CEO di bank terkemuka di Malaysia. 

Kita boleh lihat perbezaan ketara dalam reaksi A. Mungkin dipuji atau dikata untung badan. Statement B,..... mungkin sang suami terus di label 'jenis takut bini'. 
Inilah komuniti kita sekarang, pemikirannya sempit dan merasakan wanita itu seharusnya bersikap mengalah kerana mereka kaum yang lemah. Saya petik kata - kata ini - "isteri belajar tinggi pun tak guna. Tempatnya di dapur juga". 

Jika anda punya masa, cuba ikuti 'FlexiWorkLife' event yang menggalakkan para wanita kembali bekerja. Kebanyakkan yang saya jumpa adalah wanita yang 'terpaksa' berhenti kerja kerana ingin menumpukan masa mereka kepada keluarga. Bila saya cuba menyelami lebih dalam, alasan jelas lebih ketara. Isteri naik pangkat, tiada masa layan suami dan keluarga dan suami beri kata dua. 

Kesian. Diberi ultimatum antara keluarga dan kerjaya. No brainer, wanita adalah kaum yang beremosi. Tentu saja akan memilih keluarga. Dalam hal ini, saya hanya mampu senyum tawar. 

My two cents worth.
Reply
Saya rasa adalah lebih sesuai kalau masalah persepsi ini diberi landasan penerimaan dan pengetahuan perbezaan ciri ciri lelaki dengan perempuan. Ini supaya kita tak semestinya mengaplikasikan jangkaan sama rata yang mungkin tidak berasas...
Reply

No comments:

Post a Comment