PENYAKIT HATI UJUB, RIAK DAN TAKABBUR
UJUB
Ujub ini adalah lintasan-lintasan kecil yang membisikkan bahawa “aku sedang berbuat baik”, “aku hebat mampu berbuat sedemikian”, atau “wah, baik juga rupanya aku.”
Selalunya, UJUB ini hadir sebegitu.
Contohnya, tiba-tiba, minggu itu kamu berterusan menjadi orang pertama yang masuk ke surau pada waktu Subuh, hati-hati akan hadir ucapan hati sebegini:
“Wah, hebat jugak aku rupanya, bangun paling awal dan pertama ke surau nie.”
Juga, hati ini akan cenderung untuk memuji diri sendiri terhadap kelebihan yang ada. Ketika bermesyuarat di tempat kerja, ketika memberi ucapan di atas pentas, ketika bersama rakan atau saudara mara, ketika membaca Quran malah ketika menaip status di Facebook, tweet di Twitter atau ketika berWhatApps.
“Eh, ramainya like status aku, hebat juga ya, baru 5 minit sudah 100 like.”
Itu, UJUB.
RIAK
Beza pula dengan RIAK. Riak merupakan perbuatan yang menunjuk-nunjuk. Secara mudahnya, ketika sedang melakukan amal atau apa sahaja, ketika itu hadir dalam hati niat untuk menunjuk.
Bermakna, riak ini akan terjadi apabila wujud seseorang yang lain. Tidak akan terjadi riak jika tiada siapa yang kita mahu tunjuk, contohnya kamu hidup di sebuah pulau yang hanya kamu di situ.
Orang yang riak, selalunya tidak istiqomah. Apabila ada faedah, dia akan buat, apabila tiada, dia tidak buat. Maksudnya di sini, jika dia dapat tunjukkan pada orang, dia akan buat, jika tidak, dia tidak buat.
TAKABBUR
TAKABBUR. Seperti ujub, cuma takabbur ialah merasakan kamu adalah lebih hebat dari lainnya. Ujub, kamu puji diri sendiri. Takabbur, kamu bandingkan kamu dengan yang lain dan tinggikan dirimu.
Takabbur ini sememangnya rasa dalam hati. kekadang mungkin sehingga ucap dengan lisan.
”Kau siapa nak tegur aku? Kau baru ijazah, aku dah Master..”
Sudahlah meninggi diri, merendahkan orang pula.
Ini semua penyakit hati. Gambaran ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa buruknya sifat ini dan pelakunya. Syaitan itu sangat licik. Kadang-kadang tanpa sedar, kita telah bersifat dengan ujub, riak, takabbur dan penyakit hati yang lainnya.
Ketika melangkah masuk untuk beribadah, kamu mula berasa kamu hebat. Itu UJUB. Masuk pula seorang kawan, kamu sengaja lamakan ibadah itu atau zahirkan ibadah itu dengan suara atau sebagainya, itu RIAK. Ketika melihat kawan itu tidak beribadah seperti kamu, kamu berasa kamu lebih hebat dan mulia darinya, itu TAKABBUR.
Sia-sia sudah ibadahmu itu.
Malah, Allah dan Rasul melaknatnya.
Moga saya, moga saya, moga saya dan kalian dapat mengamalkan apa yang baik, dan meninggalkan apa yang buruk.
Wallahu ta’ala ‘alam bissowaab..
No comments:
Post a Comment