SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan negara ini memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat untuk rakyat bukannya untuk menampung poket sendiri.
Perkara itu disuarakan dalam satu kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers, semalam yang ditegaskannya demi rakyat tanpa ada kepentingan peribadi dan nasihat itu dibuat kerana beliau mengambil berat terhadap keadaan politik negara.
“Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka.
“Negara kita memerlukan menteri bijak yang boleh berkhidmat kepada rakyat, bukan berkhidmat untuk menampung poket mereka sendiri. Saya berdoa agar keadaan dan kesedaran politik di negara ini akan diperbaiki untuk manfaat rakyat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau berjanji akan terus bersuara untuk rakyat demi menjadikan negara ini tempat lebih baik bukan untuk mencetuskan ketegangan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota untuk berkhidmat kepada rakyat Johor. Saya amat menjaga kebajikan rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia yang lain.
“Terdapat beberapa pihak yang cuba sedaya upaya untuk mendiamkan saya. Tetapi berada di kedudukan saya, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan pendapat ikhlas saya untuk kebaikan negeri tercinta dan juga negara,” katanya.
Baginda menambah, baginda bukan seorang ahli politik dan tidak perlukan sebarang undi.
"Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan adalah untuk kesejahteraan mereka,” katanya.