SHAH ALAM – Pelaksanaan GST oleh kerajaan persekutuan merupakan faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang termasuk makanan dan minuman di kantin sekolah di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peningkatan harga itu juga kesan daripada kejatuhan nilai ringgit, pemotongan pelbagai subsidi dan peningkatan kos pengangkutan.
“Kerajaan negeri tidak terkejut dengan fenomena ini kerana sudah menjangkakan ia akan memberi impak kepada semua sektor.
“Harga minyak, pengangkutan dan harga tol yang meningkat akan ditanggung oleh pengedar dan pembekal yang kemudiannya memberi tekanan kepada pengusaha kantin sekaligus harga makanan dan minuman dinaikkan.
“Pelajar dan juga ibu bapa akan terkesan dengan caj yang dikenakan pada makanan dan minuman” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kenaikan harga makanan dan minuman di kantin sekolah kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebaliknya di bawah Kementerian Pendidikan.
“Hanya sekolah rendah agama dan sekolah agama integrasi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Kita akan cuba pantau harga makanan dan minuman di sekolah berkenaan dengan kerjasama jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi di bawah Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Seri Setia berkata, bagi meringankan beban rakyat di negeri ini, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai skim merakyatkan ekonomi Selangor (MES) seperti program back to school dan Tawas.
“Selain itu, di sekolah rendah agama rakyat, sekolah cina dan Tamil, kita ada beri bantuan infrastruktur yang dipohon pihak sekolah kepada kerajaan negeri.
“Bantuan berbentuk kos baik pulih kemudahan sekolah seperti dewan, kantin, dan lain-lain disediakan kerajaan negeri,” katanya.