Friday 18 September 2015

Mengapa bangsa melayu perlu melatah, sedangkan tanah air dan hasil bumi Malaysia orang melayu yang tadbir dan perintah. Negara yang kaya makmur ini terkenal sebagai pengeluar utama petroleum, kelapa sawit, bijih timah dan getah. Orang Inggeris dulu pun nampak hasil bumi kita itu sebab mereka jajah. Beratus tahun mereka kaut sampai satu tahap habis hasil bijih, rakyat kita miskin tapi mereka yang mewah. Dipecahkan "kekuatan" rakyat dengan dasar "divide and conquer", iaitu pecah dan perintah. Sultan dan Raja dihadkan kuasa, hanya perlu ikut apa yang diarah. Semasa nak tubuh Malayan Union, tak nafi orang melayu kuat bersatu untuk menentah penjajah. Inginkan kemerdekaan, bersama kaum cina dan india kita mengorak langkah. Sistem dibentuk, ekonomi diatur, rakyat mula bebas dan berubah. Maka merdekalah Malaya, dari Perlis sampailah ke Sabah.

Disangkakan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tanggal 13 Mei 1969, rakyat Malaysia diuji. Parti-parti politik menyuburkan perkauman, semata mata mencari populariti. Berkait dengan ketidakpuasan hati isu pembahagian dalam ekonomi. Pertelingkahan kaum mula membakar, ramai yang cedera tak kurang juga yang mati. Tun Dr Ismail pun mengatakan, tiada lagi demokrasi. Tetapi berkat kebijaksanaan pemimpin, sentimen kaum berjaya diatasi. 31 Ogos 1970 Rukun Negara diperkenalkan, 23 Februari 1971 Parlimen kembali berfungsi.

Hari berganti tahun, tahun berganti abad, kita banyak mencipta perubahan. Apa yang terjadi telah menjadi sejarah, kita ambil pengajaran dan jadikan tauladan. Dari sistem ekonomi Koloni, kita bakal menjadi negara maju demi mencapai wawasan. Negara dipandu dan dimaju atas usaha sendiri anak tempatan. Semua kaum dan etnik bersatu, untuk membentuk ekonomi yang lebih mapan. Pemimpin silih berganti, negara semakin maju terutama di bawah mantan. Pelbagai jenis pembangunan diperkenal, rakyat juga dapat manfaat tak kurang juga yang jadi jutawan. Tak kira bangsa melayu, cina, india, etnik Sabah Sarawak dan peranakan. Sehinggalah saat Tun Mahathir berundur lalu melepaskan jawatan.

Negara takkan sempurna seperti disangka, kepincangan pasti ada. Itu lumrah manusia, tak semuanya sempurna. Tapi adakah disebabkan bakti, kesalahan terpaksa rakyat terima?. Hanya orang yang jahil sahaja pertahan yang salah atas nama kuasa bangsa. Ilmu dituntut untuk dijadikan pedoman bersama, tapi hari ini rakyat dituntut untuk mengenang semua jasa. Tak kurang juga, diungkit sejarah hitam untuk disemai kebencian di hati anak muda. Rakyat persoal yang pincang untuk disiasat dan diatasi, tapi akal rakyat pula dipandang hina. Apakah semua yang memimpin layak disanjung mulia seperti insan maksum tanpa dosa? Rakyat hanya mahu dipimpin, bukan mengangkat orang yang gila kuasa.

Ini bumi rakyat Malaysia, tapi janji antara kaum kami tak pernah lupa. Khazanah negara melimpah ruah, ini rahmat dari yang Maha Kuasa. Sepatutnya dah nampak kemajuan, pemimpin pula yang mewah tapi masih ada rakyat yang papa kedana. Tak mampu cipta keuntungan pelaburan, rakyat keseluruhannya dikenakan cukai pula. Rakyat hanya mendapat serpih, sedang kekayaan negara dikaut pihak tertentu sahaja. Tapi yang serpih itu yang diangkat lebih, dalam sedar kroni mencipta nama. Kroni pula takkan makan sorang, jangan lupa siapa yang melulus semua. Bila rakyat bersuara, undang-undang menjadi benteng utama. Bila pemimpin jelas tersangkut dengan undang undang, rakyat pula diperbetul konon tak faham bahasa enakmen dan klausa sedia ada.

Ingat kepada pemimpin Malaysia terutama yang berbangsa melayu, anda meniti di titi yang rapuh. Anda sendiri yang cantas tali, titi hampir hancur untuk anda sendiri nak tempuh. Anda hanya nampak rakyat di tebing, kononnya anda masih selamat dan kedudukan anda masih kukuh. Anda nampak rakyat akan tolong sebab ikut budaya dan agama pemimpin wajib dihormat dan dipatuh. Hati rakyat patut ditambat, tapi sekarang dah hancur luluh. Anda semarakkan perkauman, dan cuba mengangkat diri sebagai jaguh. Tapi sebenarnya anda sendiri yang akan jatuh sebab sikap anda yang sombong dan angkuh. Di kala itu jangan salahkan rakyat dan saling tuduh menuduh. Sebab rakyat dah sedarkan awal, tapi anda ambil sikap acuh tak acuh. Sekarang satu semangat di hati rakyat yang kekal utuh, "BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH" - nukilan Muhammad Azam Azuar Mazlan.

No comments:

Post a Comment