Hadi: Karl Marx bukan Cina, India pun
Sudah sampai masanya Umno direhatkan dan PAS diberi peluang “memerintah dengan Islam” demikian seruan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau juga berharap orang bukan Islam tidak takut dengan agama itu kerana mereka boleh menerima ideologi seperti komunis yang diasaskan tokoh bangsa lain.
“Kalau orang bukan Islam boleh terima ideologi komunis, yang buat Komunis ini Karl Marx. Karl Marx ini bukan orang Cina, bukan orang India, dia orang Yahudi Jerman.
“(Tetapi) ada orang Cina, orang India berjuang untuk komunis masuk hutan sampai kurus kering, makan rumput, payah makan,” beliau dilapor berkata demikian dalam ucapan pada Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.2) di Dungun pada 18 September lalu.
Hadi juga, menurut laporan di laman web PAS, mendakwa BN, MCA dan MIC menganut fahaman kapitalisme, sebuah ideologi yang dipelopori Adam Smith, seorang Inggeris.
Oleh itu, kata Hadi, jika ada yang sanggup berjuang menegakkan ideologi asing itu, maka sewajarnya mereka boleh memberi peluang kepada Islam.
“Barulah tak timbul kapal terbang hilang, tak timbul 1MDB, tak timbul Perwaja yang kilang besi itu, sedar-sedar besi tak ada, duit pun tak ada juga. Tidak timbul bermacam-macam penyelewengan. Kerana apa? Kerana kita yang berpegang dengan Islam ini ada perhitungan dosa pahala.
“Bukan sahaja dalam bab sembahyang, puasa (sahaja), termasuklah bab ekonomi, politik. Puak-puak ini (Umno), dosa pahala dia sembahyang puasa saja. Dalam bab ekonomi, politik tak ada dosa pahala. Baham duit banyak-banyak, lepas itu buat umrah.
“Buat umrah, balik, buat umrah pula. Selesai macam itu, dia ingat mudah begitu saja (hal dosa pahala). Kita lain dengan mereka. Terimalah pendekatan Islam yang kita bawa ini, insya-Allah boleh selamatkan negara kita,” seru beliau.
No comments:
Post a Comment