Wednesday 23 September 2015

‘Bukan hak kita ambil nyawa’

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
Kuantan: Seorang bekas pemandu lori dihukum penjara 17 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian penyelianya di sebuah kilang di Gebeng, dekat sini, tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Wan Nazari Mohamed, 28, dan memerintahkan hukuman itu berjalan mulai tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 8 Februari 2014.
Tertuduh yang berasal dari Machang, Kelantan tenang pada prosiding semalam.
Ab Karim berkata, kesalahan lelaki itu amat serius kerana menyebabkan kematian mangsa selepas tertuduh tidak berpuas hati kerana digantung kerja.
“Kesalahan membunuh adalah serius kerana nyawa seseorang tidak ternilai. Bukan hak kita untuk mengambil nyawa seseorang itu (dengan) sewenang-wenangnya.
“Mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes yang membabitkan perlakuan ganas sehingga membawa kepada kecederaan dan kematian,” katanya.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, Wan Nazari didakwa menyebabkan kematian, Md Saipulmizan Ibrahim, 34, di kilang Bredero Shaw, Gebeng, di sini, kira-kira jam 2 pagi, pada 8 Februari 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan asal membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Zaharman Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai anak yang berusia antara dua hingga enam tahun.
Beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada salah faham selepas tertuduh tertekan kerana kehilangan kerja.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat.
Artikel ini disiarkan pada : 
Rabu, 23 September 2015 @ 5:02 AM 
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79494?m=1#sthash.KpeZykYa.dpuf

No comments:

Post a Comment