KUALA LUMPUR - Cubaan dua lelaki warga Afrika dipercayai sindiket ‘black money’ memperdaya seorang janda bagi mendapatkan wang konon menggandakan nilainya tidak kesampaian apabila mereka dicekup dalam tangkapan berasingan sekitar Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tangkapan itu susulan mangsa yang berusia 55 tahun, membuat laporan polis.

Menurutnya, mangsa sebelum ini dikatakan berkenalan dengan salah seorang suspek pada April lalu, melalui rakannya di Jalan Ampang, sebelum menjalin hubungan rapat dengan suspek.

“Suspek kemudian menggunakan peluang sebaiknya meminta wang konon sebagai wang perbelanjaan harian. Atas dasar cinta, wanita berkenaan memberikan wang RM100 hingga RM1,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, semalam.

Beliau berkata, suspek yang menyedari dirinya mudah mendapatkan wang daripada mangsa mendesak beberapa kali untuk meminta lebih lagi wang bernilai kira-kira RM50,000 dengan alasan melipat gandakan nilai tersebut.

“Pada tarikh yang sama (Selasa lalu), seorang lelaki juga teman lelaki mangsa ditahan di hadapan restoran makanan segera pada jam 5.15 petang.

"Dengan panduan dari tangkapan ini, seorang lagi lelaki warga Afrika ditahan di sebuah hotel pada hari yang sama pada jam 6.30 petang.

“Kita kemudian membuat serbuan di sebuah rumah di Ampang, pada jam 10.10 malam, hari yang sama dan berjaya merampas beberapa barang disyaki untuk tujuan 'black money'. Antara yang dirampas sebungkus kertas berwarna kuning dan hitam, telefon bimbit dan ratusan keping wang palsu AS$100,” katanya.

Siasatan awal mendapati, dua lelaki warga Afrika berusia lingkungan awal 30-an berada di Malaysia sejak tiga tahun lalu dengan pas pelajar.

“Kita percaya sudah ramai individu menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan,” katanya.