RASULULLAH S.A.W MENYEBARKAN RAHMAH KE SEKELIAN ALAM
“Tidaklah kami utuskan kamu (wahai Rasulullah) kecuali sebagai rahmah buat sekelian alam.” [Surah Al-Anbiya, ayat 107]
Apakah yang dimaksudkan dengan “rahmat bagi seluruh alam”?
Sebagai insan yang mulia Rasulullah s.a.w. telah menonjolkan sifat rahmahnya menerusi keluhuran budi pekerti yang tinggi dalam hubungannya bukan sahaja dengan insan lain, bahkan bersama keseluruhan makhluk yang berada di sekitarnya.
Sepertimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Ahmad dan At-Tirmizi: Setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke kota Madinah, setiap kali Rasulullah s.a.w. ingin menyampaikan khutbah, Rasulullah s.a.w. akan bersandar kepada sebatang pohon kayu. Sehinggalah para sahabat membina bagi Rasulullah s.a.w. sebuah mimbar, maka Rasulullah s.a.w. tidak lagi bersandar kepada pohon tersebut. Maka tatkala Baginda naik ke atas mimbar untuk menyampaikan khutbah, terdengar suara tangisan di dalam masjid Rasulullah. Ternyata suara itu datang dari pohon kayu tersebut, yang merindukan Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. lalu turun dari mimbar, lalu mengusap-usap pohon tersebut, menenangkannya sehinggalah dia senyap.
Perhatikan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. berkaitan perlunya memelihara sekitaran dan alam semulajadi pada setiap masa, walaupun dalam situasi konflik. Rasulullah s.a.w. melarang menebang pokok dan tumbuh-tumbuhan tanpa ada keperluan semasa berperang. Baginda telah memerintahkan para sahabat untuk memastikan pokok-pokok, buah-buahan dan tumbuhan lain terpelihara semasa perang.
No comments:
Post a Comment