TELUK INTAN - Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki bertindak menyamar sebagai anggota polis dan cuba menyamun seorang mangsa di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 32 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak. 

"Susulan laporan yang dibuat mangsa, polis berjaya mengesan dan menahan kesemua suspek berkenaan di kawasan bendang di Sekitar Sungai Manik dengan bantuan orang awam pada kira-kira 12.05 tengah malam tadi," katanya pada sidang media di IPD Hilir Perak di sini hari ini.

Sebelum suspek di tahan, Shuhaily berkata, mereka telah mendatangi mangsa dan seorang rakannya di Tokong Sungai Suli di sini pada pukul 9.30 malam dan cuba menahan mereka berdua tetapi rakan mangsa berjaya melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran tokong itu.

Beliau berkata, dua suspek menghampiri mangsa dan memberitahu mereka anggota polis. 

"Mangsa kemudian dimasukkan dalam kereta suspek dan digari sebelum meninggalkan kawasan berkenaan.

"Mangsa diugut bunuh serta ditumbuk di muka sebelah kanan sebanyak tiga kali. Suspek juga memaksa mangsa menghubungi rakannya untuk menyerahkan wang tebusan sejumlah RM15,000 untuk membebaskan mangsa. 

"Kira-kira pukul 11.40 malam, mangsa dibebaskan setelah rakannya bersetuju untuk menyerahkan sejumlah wang tebusan kepada kesemua suspek berkenaan," katanya.

Shuhaily berkata, mangsa dan rakannya membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan berhubung kejadian itu.

Shuhaily berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan antaranya gari, kuku kambing, sebilah pisau, sebilah pahat serta kenderaan yang dinaiki suspek adalah kereta curi.

"Polis juga menjumpai satu paket plastik lutsinar yang disyaki berisi dadah jenis methamphetamine seberat 8.2 gram serta merampas wang tunai berjumlah RM5,865," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan negatif dadah itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Mereka kini ditahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan semasa menyamun dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya. - Bernama