KUALA LUMPUR - Semua institusi kewangan di seluruh negara perlu mengambil tindakan segera memeriksa dan meningkatkan tahap keselamatan mesin juruwang automatik (ATM) dan kad ATM pengguna bagi mengekang kegiatan menggodam mesin berkenaan daripada berleluasa.
  
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Paul Selva Raj berkata jika tindakan segera tidak diambil, bank bakal menghadapi implikasi teruk yang akan menghakis kepercayaan dan keyakinan pengguna untuk terus menyimpan wang di institusi berkenaan.

"Kes ini amat serius, yang telah mencetuskan kebimbangan ramai pihak kerana kebanyakan rakyat Malaysia kini adalah pengguna bank.
  
"Semua bank perlu memberi perhatian serius terhadap kes ini dan mengambil tindakan segera untuk memeriksa sistem keselamatan masing-masing kerana kita bimbang kes ini akan berlaku pada bank lain pula," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Sabtu lalu, satu sindiket dipercayai dari Amerika Latin melarikan RM1.271 juta daripada mesin ATM milik Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor dipercayai menggunakan sim kad telefon dan peralatan canggih.

Jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM pernah berlaku sebelum ini di negara ini.
  
Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor pula berkata tiada kompromi dalam isu keselamatan bank kerana ia bukan sahaja menjejas keyakinan pengguna, namun turut menyumbang kepada penyusutan daya saing ekonomi negara.

Tegasnya, bank merupakan institusi penting yang mempamer imej positif kepada negara terutama dalam menarik pelancong dan pelabur asing ke negara ini.
  
"Dari sudut psikologinya, faktor keselamatan akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan, jika bank tidak ada jaminan keselamatan, bagaimana pengguna, pelancong asing dan pelabur mahu menggunakan bank atau masuk ke negara ini," soalnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bank di negara ini meneliti semula sistem keselamatan bank masing-masing dan menukarnya kepada satu sistem yang lebih canggih, selari dengan kecanggihan teknologi semasa.
 
"Mungkin juga bank perlu menukar sistem atau kod keselamatannya setiap beberapa tahun sekali, kerana sistem atau kod yang bertukar akan menyukarkan penjenayah.
  
"Apa yang penting, keselamatan adalah isu berterusan, untuk mengekalkannya, bank perlu melakukan pelaburan kerana keselamatan yang terjamin akan membawa keuntungan kepada bank itu sendiri apabila lebih ramai pelanggan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan bank tersebut," katanya.-Bernama