KUALA LUMPUR - Polis melancarkan operasi khas 'Ops Albatross' untuk mengesan dan memberkas penjenayah yang terlibat dalam beberapa siri insiden penggodaman Mesin Juruwang Automatik (ATM), menggunakan kaedah menyuntik virus malware, 'ulssm.exe' bagi menipu sistem pengkomputeran bank.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Mortadza Nazarene berkata, siasatan awal menunjukkan terdapat beberapa lelaki dipercayai warga asing telah membuka panel bahagian atas ATM terlebih dahulu.
Mereka kemudian memasukkan satu cakera padat (CD) ke dalam pembaca cakera padat (CD-ROM) yang terdapat di dalam mesin berkenaan untuk memindahkan malware itu ke dalam sistem ATM itu.
"Selepas mengeluarkan CD, panel itu akan ditutup semula dan ahli sindiket akan mengeluarkan kesemua wang di dalam ATM itu menggunakan panel kekunci dengan memasukkan kod tertentu yang diterima melalui panggilan telefon dari rakan mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, slot kad ATM kemudian akan disumbat dengan objek berupa kad sim, kertas ataupun puntung rokok bagi menyekat akses pengeluaran wang oleh pengguna lain.
Semalam, polis melaporkan satu sindiket dipercayai dari Amerika Latin melarikan wang tunai lebih daripada RM3 juta, setelah menggodam 17 mesin ATM di Selangor, Melaka dan Johor.
Dalam kejadian penggodaman itu, tiada pemilik akaun dilaporkan kehilangan wang mereka.
Polis turut memohon kerjasama masyarakat untuk tampil ke hadapan dan menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes jenayah itu bagi membantu siasatan dengan menghubungi mereka di talian 03-26163839. - Bernama
No comments:
Post a Comment