KUANTAN - Polis mengesan empat mesin juruwang automatik (ATM) di Genting Highlands yang dipasang alat perakam khas bagi mencuri data kad bank pelanggan sejak Februari lepas hingga awal Ogos ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Azizan Md Isa berkata, jenayah yang didalangi sindiket sama itu dikesan meletakkan alat perakam khas di dalam slot kad dan kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar yang dipasang di mesin ATM di bank tersebut.
  
Beliau berkata kejadian terbaru dikesan pada 7 Ogos lepas kira-kira jam 4 petang di sebuah mesin ATM di kawasan peranginan yang menjadi tumpuan pelancong di Genting Highlands manakala tiga kes lagi dikesan pada bulan Februari, Mei dan Jun lepas.
  
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan alat perakam khas dan CCTV yang dipasang di mesin-mesin ATM bertujuan menyalin data akaun mangsa manakala CCTV digunakan untuk merakam nombor pin mangsa.
  
"Selepas memperoleh maklumat tersebut sindiket itu akan membuat kad ATM
palsu untuk mengeluarkan wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Azizan berkata, polis juga percaya sindiket ini menyasarkan pelancong dari luar negara memandangkan kad bank milik mereka mudah dibuat salinan.
  
Katanya sindiket ini juga dipercayai memilih mesin ATM yang diletakkan di luar bangunan bank dan polis kini bekerjasama dengan pihak bank berkenaan bagi mendapatkan rakaman CCTV suspek terbabit.
  
"Polis juga tidak dapat memastikan bila mereka memasang alat perakam khas itu bagaimanapun siasatan sedang giat dijalankan. Sehingga kini juga tiada laporan polis dibuat berhubung kehilangan wang di sana," katanya.
  
Ekoran kejadian itu, Azizan menasihati pihak bank supaya memeriksa mesin ATM secara kerap untuk memastikan tidak ada alat-alat asing yang dipasang di mesin ATM berkenaan.
  
Selain itu, katanya, CCTV yang dipasang oleh pihak bank untuk mengawasi mesin ATM juga harus sentiasa diperiksa bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dan lokasi mesin ATM juga harus di tempat terbuka dan bukannya di tempat sunyi. - Bernama