MUAR - Kesatuan Pegawai Pengangkutan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) hari ini meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein campur tangan berhubung penstrukturan semula Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
  
Presiden KPPJSM Hamzah Masri berkata Hishammuddin perlu campur tangan kerana pengurusan tertinggi jabatan itu mengetepikan penglibatan kesatuan itu dalam perundingan cadangan penstrukturan JPJ.
  
"Kita telah minta pihak atasan JPJ supaya mengambil kira pandangan kesatuan dalam proses penstrukturan jabatan itu. Malangnya sehingga ini, kesatuan tidak pernah diajak atau dilibatkan sama dalam perundingan itu," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata dengan campur tangan itu, diharapkan pandangan kesatuan yang mewakili lebih 3,000 pegawai penguat kuasa JPJ dapat didengar untuk kemajuan jabatan dan masa depan mereka.
  
Sehubungan itu, beliau berharap satu perjumpaan dengan Hishammuddin akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik berhubung kemelut itu. - Bernama