Monday, 17 February 2014

Helah tangki air

Oleh Iskandar Shah Mohamed
Kuala Lumpur: Pengusaha sebuah pusat refleksologi dan urutan tradisional di Taman Danau Desa di sini, dikesan menggunakan taktik licik dengan menyediakan beberapa tangki air kosong khas di atas siling bangunan bagi membolehkan pekerja wanita premis itu menyembunyikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.
Difahamkan, penjaga premis itu akan menjalankan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan mengarahkan semua tukang urut asing berpakaian seksi supaya segera memanjat lubang siling menuju ke tangki air yang boleh memuatkan beberapa individu berkenaan. 
Bagi mengelak dihidu, seorang daripada wanita itu akan menjadi ‘korban’ dengan menunggu di bawah manakala selebihnya dikatakan akan ‘membisu’ di dalam tangki tanpa air itu sehingga pihak berkuasa beredar dari kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, taktik itu tidak bertahan lama apabila disedari anggota penguat kuasa yang terdengar bunyi pergerakan mencurigakan di atas siling itu yang membawa kepada penahanan sembilan wanita asing dalam tangki berkenaan.
Foto
WANITA asing menyorok di dalam tangki dibawa keluar.

Kejadian itu dibongkar sepasukan 16 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyerbu dua pusat urut di sekitar kawasan berkenaan, bermula jam 10 malam Jumaat lalu.

Dalam Ops Sayang lebih dua jam itu, seramai 20 wanita warga China, Vietnam dan Thailand berusia 25 hingga 38 tahun ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tiada dokumen dan menyalahgunakan pas lawatan sosial. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

No comments:

Post a Comment