JOHOR BAHRU – Kegagalan dua pengusaha restoran di sebuah taman perumahan di sini, mematuhi kriteria tahap kebersihan ditetapkan menyebabkan premis berkenaan diarahkan tutup semasa Ops Basuh Siri 3/2014 yang dijalankan semalam.

Operasi bersepadu melibatkan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membabitkan 30 anggota daripada Jabatan Kesihatan itu adalah untuk memastikan tahap kebersihan terjamin.

Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Johor Bahru Mohd Rosli Abd Wahab berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan bukan saja tidak memenuhi tahap kebersihan dan pengendalian ditetapkan, malah turut melanggar beberapa peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan turut mendapati kedua-dua premis berkenaan itu mencapai tahap kebersihan rendah iaitu 55 peratus.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah penyediaan makanan yang tidak sempurna, tong sampah dan longkang yang kotor dan pekerja yang tidak memotong kuku sebelum mengendalikan makanan.

“Selain itu, kami turut mendapati pemilik premis menyimpan makanan dimasak dengan bahan mentah di tempat penyimpanan makanan sejuk beku di mana ia boleh mengakibatkan pencemaran silang.

“Kami percaya mereka menyimpan makan itu untuk dipanaskan semula sebelum dihidang kepada pelanggan,” katanya kepada media selepas operasi berkenaan, di sini, semalam.

Mohd Rosli berkata, walaupun diberi notis penutupan, pemilik premis terbabit masih boleh beroperasi lebih awal dengan syarat memperbaiki kesalahan mereka.

“Malah, pemilik premis yang terlibat tidak perlu bimbang kerana mereka boleh membuat rayuan pemeriksaan semula dalam tempoh 14 hari notis penutupan berkuat kuasa.

“Selepas ini, kita akan jalankan pemeriksaan semula dan sekiranya mereka mengemukakan permohonan semula kepada kami. Tetapi, jika mereka berdegil dan ingkar arahan ini hingga tamat tempoh penutupan, maka tindakan undang-undang lebih tegas akan dikenakan,” katanya.