Tuesday, 25 February 2014

Dua beradik mati dikelar amah

Oleh Nurul Huda Kosnon, Kalidevi Mogan Kumarappa dan Sharul Rezuan
Sungai Buloh: Dua beradik lelaki berusia enam bulan dan dua tahun dikelar hingga mati menggunakan pisau oleh pembantu rumahnya sebelum wanita itu membunuh diri dalam kejadian di sebuah rumah dua tingkat di Taman Sri Putra, di sini petang semalam.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa tinggal bersama pembantu rumah warga Indonesia itu ketika ibu bapa, datuk dan nenek mangsa keluar sejak jam 8 pagi untuk menguruskan perniagaan kedai kopi milik mereka.
Jiran yang mahu dikenali sebagai S Sivakumar, 34, berkata, biasanya seluruh keluarga berkenaan termasuk datuk dan nenek serta ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan keluar rumah jam 8 pagi dan pulang semula jam 6 petang.

"Kejadian itu hanya disedari nenek kanak-kanak itu yang pulang ke rumah kira-kira jam 6 petang tadi (semalam) dan ketika itu, keadaan rumah agak sunyi.
Foto
Rumah yang menjadi lokasi kejadian kes bunuh di Taman Sri Putra. FOTO Asyraf Hamzah

"Selepas memanggil nama cucunya dari luar, nenek kanak-kanak itu masuk ke dalam rumah sebelum terkejut selepas ternampak cucunya yang berusia enam bulan berlumuran darah dan sudah tidak sedarkan diri manakala pembantu rumah yang berlumuran darah pula berada berhampirannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, terkejut dengan penemuan itu, nenek kanak-kanak itu mencari seorang cucunya yang berusia dua tahun sebelum menemuinya dalam keadaan leher dikelar di tingkat dua rumah berkenaan.

Katanya, nenek kanak-kanak itu kemudian menghubungi polis dan ahli keluarga lain memaklumkan kejadian itu.

Berdasarkan sumber polis, kejadian berkenaan dilakukan pembantu rumah terbabit berikutan tiada kesan pecah masuk rumah malah tiga anjing jenis Rottweiler tidak menyalak sepanjang kejadian.

No comments:

Post a Comment