Sunday, 24 July 2016

MERENDAH DIRI DALAM AMAL SOLEH

Hayatilah sepotong Hadith Nabi s.a.w. yang menggambarkan kepentingan seseorang itu merendahkan diri dalam beramal saleh. Baginda bersabda yang bermaksud: “… Maka demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, ada seseorang diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga kecuali sehasta saja, kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka. Ada diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka, sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu dia melakukan perbuatan ahli syurga dan dia dimasukkan ke dalam syurga.” [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari]

Kita tidak akan tahu, sebanyak mana pun amalan baik dan ibadah yang kita telah lakukan, bila-bila sahaja seseorang itu boleh terjerumus dalam dosa lalu meninggal dalam keadaan berdosa, Nauzu billah!

Dalam keadaan kita yang tiada jaminan ini, siapakah kita untuk merendahkan orang lain yang melakukan kesalahan? Untuk mengetepi ataupun memperlekehkan amalannya? Kerana boleh jadi dia dapat berubah kepada yang lebih baik, melakukan amal ibadah yang lebih daripada kita.

Kita tetap bersangka baik terhadap Allah, bahawa Allah tidak akan mensia-siakan amalan orang yang beramal saleh. Di waktu yang sama, setiap individu mukmin, tetap akan sentiasa terus mengharapkan rahmat dan bantuan Illahi. Kerana Allah lah Yang Maha Mengetahui segala kesudahan.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita sekeluarga kerendahan hati, keikhlasan dalam beramal dan saling doa-mendoakan antara satu sama lain dalam mengejar keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

No comments:

Post a Comment