LIMBONGAN - Seorang penjual sayur sempat menyelesaikan tugasnya menghantar barangan dipesan pelanggan sebelum dia maut terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke kedai.
Motosikal ditunggangi mangsa, Choo Kee Chong, 66, dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan di Jalan Limbongan, di sini, semalam menyebabkan dia terjatuh daripada motosikalnya.
Dalam kejadian kira-kira 9.25 petang itu, mangsa dari Taman Bukit Serindit dikatakan baru beberapa minit menghantar sayur-sayuran yang ditempah pelanggannya di sebuah restoran di Limbongan.
Menurut menantunya yang ingin dikenali sebagai Lim, 50, memang menjadi rutin sejak hampir 30 tahun lalu, bapa mertuanya akan menghantar sayur-sayuran yang ditempah pelanggan dengan menggunakan motosikal.
“Kami sudah nasihat dia supaya berehat kerana sudah berusia tetapi kerana sayangkan perniagaannya, dia teruskan juga. Saya hanya tahu dia kemalangan pada jam 9.30 pagi selepas menerima satu panggilan daripada individu tak dikenali.
“Bagi saya dia seorang yang baik dan sering datang ke kedai saya selepas habis kerja untuk duduk bersembang tetapi hari ini dia telah pergi selamanya, saya benar-benar tidak sangka,” katanya sewaktu ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Sementara itu, sumber polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menunggang motosikal dilanggar dari belakang di lorong kanan oleh sebuah kenderaan dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.
“Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Kominsioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan kejadian.
Menurutnya, kes disiasat di Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
No comments:
Post a Comment