Friday, 11 September 2015

Alor Setar – Rawatan pelik dan menjijikkan. Itu dilakukan seorang bomoh lelaki berusia 50-an yang menggunakan pisau dan keris kononnya untuk membuang sihir sebelum meraba dan menyentuh kemaluan seorang wanita di kediamannya di sebuah flat di Alor Setar, di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam Ahad lalu, mangsa berusia 22 tahun ditemani ahli keluarga datang ke rumah bomoh itu untuk merawatnya selepas mendakwa dia disihir teman lelakinya.
Difahamkan, pada mulanya mangsa enggan berubat tambahan yakin dirinya tidak disihir, namun akur apabila didesak ahli keluarga menyebabkan dia setuju menjalankan upacara membuang sihir itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mangsa berasal dari Jitra mendakwa dia datang ke kediaman suspek bersama ahli keluarga untuk berubat selepas dipercayai terkena sihir.
Menurutnya, ketika upacara itu dilakukan mangsa mendakwa bomoh itu meletakkan keris berdekatan kemaluan dan buah dadanya.
“Tidak cukup dengan itu suspek turut meraba seluruh badannya walaupun tidak disukai mangsa.
“Suspek juga menyentuh alat sulit mangsa dengan menggunakan pisau kononnya untuk membuang sihir yang terkena padanya,” katanya.
Mohd Nashir berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dan berasa malu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Star pada Rabu lalu.
“Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu kemudian menahan suspek berusia 50-an di kediamannya jam 5.15 petang kelmarin.
“Dia bagaimanapun dibebaskan semalam dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment