Tuesday, 29 September 2015

AL AZIZ

 Al-Aziz membawa maksud Yang Maha Mulia atau Yang Maha Perkasa. Perkataan Al-Aziz disebut sebanyak 99 kali di dalam Quran.

“Barang siapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah lah semua kemuliaan itu.” – Al-Quran : Surah Fathir, ayat 10.

Sesungguhnya kemuliaan seseorang itu ternyata bukan terletak pada harta, pangkat dan juga keturunan, tetapi bergantung pada kedudukannya disisi Allah.

Allah berfirman di dalam surah Al Hujarat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Oleh itu janganlah kita memuliakan diri dengan gelaran, pangkat, harta, keturunan, suku atau bangsa.  Sesungguhnya mereka yang suka memuliakan dirinya adalah manusia-manusia yang tercela disisi Allah.

Marilah kita jadikan al-Aziz sebagai sumber kekuatan kita dalam apa keadaan pun.  Samada dalam keadaan susah atau senang, sudah pasti kita akan tetap merasai nikmatnya.

Percaya dan yakinlah pada kekuasaan Allah yang sentiasa tercurah kepada hamba-hambanya yang menjadikan Dia sebagai sumber kekuatannya.  

Allah memberi kamu kelapangan supaya kamu tidak selalu dalam kesempitan.  Allah memberi kesempitan kepada mu supaya kamu tidak hanyut sewaktu kelapangan.  Allah melepaskan kamu daripada kedua-duanya supaya kamu tidak bergantung diri kecuali kepada Allah semata-mata.

Dengan semangat Al-Aziz, kita sebaik-baiknya memuliakan sesama manusia dan tidak menghina sesiapa pun. Hakikatnya apabila kita menghina seseorang kita sebenarnya menghina Allah, yakni menghina ciptaan Nya.  Ini adalah kerana kita semua diciptakan Allah sebagai wakilnya di muka bumi ini.

“Dia telah menjadikan kalian sebagai khalifahnya di muka bumi.” – Al-Quran, surah Yunus, ayat 14

Kita perlu sedar bahawa kita semua adalah sama pada pandangan Tuhan.  Jadi, mengapa kita perlu membeza-bezakan dan menyingkirkan orang lain, sedangkan Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah mahu menyingkirkan sesiapa pun.  Tuhan mencintai yang cacat, miskin dan melarat.  Pada masa sama, Tuhan juga mencintai yang kaya, berkuasa atau yang berpangkat.  Apa yang membezakan kita pada pandangan Allah adalah ketaatan kita dan kepatuhan kita kepada Nya.

No comments:

Post a Comment