Saturday, 11 July 2015


BERITA  |  MALAYSIA

ETS KL-Padang Besar berhenti di 15 stesen

ETS KL-Padang Besar berhenti di 15 stesen
Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur yang bermula hari ini akan berhenti di 15 hentian.
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur yang bermula hari ini akan berhenti di 15 hentian.

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad dalam satu kenyataan hari ini berkata 15 hentian itu ialah KL Sentral, Tanjung Malim, Tapah Road, Kampar, Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar, Bukit Mertajam, Butterworth, Bukit Mertajam,
Sungai Petani, Alor Star, Arau dan Padang Besar.

Kenyataan itu berkata harga tiket sehala dari Kuala Lumpur-Padang Besar atau Padang Besar-Kuala Lumpur ialah RM80.

Tren dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, akan berlepas pada pukul 9.30 pagi dan tiba pada pukul 3 petang manakala dari Padang Besar ke Kuala Lumpur pada pukul 4 petang dan tiba pada 9.15 malam.

Bagi perkhidmatan tren ETS Transit Ipoh-Butterworth-Padang Besar dan sebaliknya yang telah bermula pada 10 Julai lepas akan berhenti di kesemua 24 stesen.

Sepuluh stesen hentian baharu diperkenalkan iaitu Anak Bukit, Bukit Ketri, Bukit Tengah, Kamunting, Kobah, Kodiang, Padang Rengas, Simpang Ampat, Tasek dan Tasek Gelugor.

Tiket tren Ipoh ke Butterworth adalah RM23 manakala Butterworth ke Padang Besar adalah RM21.

Waktu laluan Ipoh-Butterworth adalah 5 pagi dan tiba 6.50 pagi, Butterworth-Padang Besar (7.30 pagi-9.15 pagi), Padang Besar-Butterworth (2 petang-3.45 petang) dan Butterworth-Ipoh (5 petang-6.50 petang).

Buat permulaan, KTM Berhad hanya menyediakan satu perkhidmatan tren untuk setiap arah bagi kedua-dua perkhidmatan ETS dan kekerapan tren akan ditambah apabila tren-tren ETS yang baharu mula beroperasi.

Para penumpang boleh mula membuat pembelian dan tempahan tiket bermula hari ini dan sebarang maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan di talian 1-300-88-5862.

No comments:

Post a Comment