Muhasabah Diri Dalam Berkeluarga
Marilah kita tanyakan diri kita sendiri: Apakah selama ini kehidupan kita dan keluarga kita telah berjaya mendatangkan keredhaan Allah s.w.t? Apakah semakin lama usia perkahwinan kita ini, semakin kita terasa nikmat sakinah, mawaddah wa rahmah yang diberikan Allah? Adakah ilmu, amalan serta ketakwaan kita dan ahli keluarga kita semakin meningkat terhadap Allah s.w.t., ataupun sebaliknya?
Yang membezakan antara kita semua di sisi Allah s.w.t. hanyalah ketakwaan sahaja. Tidak kiralah sehebat manapun status seseorang itu, ataupun sekaya mana sekalipun hartanya, darjat dan nilai sebenar seseorang itu dinilai oleh Allah s.w.t. melalui ketakwaan.
Jadikan ketakwaan sebagai kayu ukur kita semua. Sebagai contoh, tatkala kita ingin melakukan sesuatu, lihatlah terlebih dahulu nilai amalan tersebut di sisi Allah. Adakah amalan ini menyebabkan diri kita semakin dekat dengan Tuhan dan semakin meningkat ketakwaannya? Ataupun sebaliknya.
Yang boleh menjauhkan kita dan keluarga dari menjadi antara golongan yang rugi adalah, hendaklah rumahtangga itu dihiasi dengan budaya saling berpesan-pesan serta menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Sepertimana yang disabda Nabi Muhammad s.a.w:
“Agama itu adalah (dengan memberi) nasihat.” [Hadith riwayat Imam Muslim]
Melalui hadith ini, kita memahami bahawa aspek saling memberi dan menerima nasihat itu merupakan antara perkara yang dasar dalam agama kita. Seorang mukmin, tidak patut terlalu membangga diri, sehinggakan tidak sedia menerima nasihat sesiapa dalam urusannya. Begitu juga dalam kehidupan berkeluarga, budaya saling menasihati dan saling meminta pandangan perlu terus dihidupkan.
Ya Allah, kami adalah hamba-hambaMu yang lemah lagi memerlukan kepada bantuan dan bimbinganMu. Tiada daya dan upaya kecuali apa yang Kau izinkan bagi kami. Maka dengan segala rendah diri Ya Allah, kami memohon daripadaMu, peliharalah diri dan keluarga kami daripada segala anasir keburukan di dunia dan di akhirat. Kurniakan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada kami dan keluarga dalam mengharungi kehidupan. Tetapkanlah keimanan dan ketakwaan anak-anak muda kami. Kekalkanlah mereka di atas landasan yang kamu redhai dan jangan biarkan kami tanpa panduanMu. Wahai Tuhan sekelian alam, jadikanlah kalimah tauhid sebagai pengakhir bicara kami di dunia ini dan golongkan kami bersama hamba-hambaMu yang engkau kasihi. Amin Ya Rabbal ’alamin.
No comments:
Post a Comment