KEHIDUPAN DAN KEMATIAN
Satu ciptaan yang sangat rapat dengan setiap insan, namun tidak ramai pula yang memberikan perhatian terhadapnya.
Apakah ciptaan Allah yang dimaksudkan ini? Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:
“Dialah (Allah) yang telah menjadikan kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dialah Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun”.
Allah mencipta kehidupan. Allah juga yang mencipta kematian. Dua ciptaan Allah yang tidak dapat dilihat secara fizikal, tetapi tidak ada seorang manusiapun yang mampu melepaskan diri daripadanya.
Seorang mukmin meyakini bahawa usia yang diperuntukkan Allah merupakan modal untuknya mengusahakan kebaikan sementara hidup di atas muka bumi ini. Seorang mukmin menyedari besarnya nilai kehidupan sebagai peluang untuk menabur jasa dan bakti, membawa kebahagiaan dan kesejahteraan, dan menyemai bibit-bibit kemakmuran.
Suburkan kehidupan kita hari ini dan hari-hari berikutnya dengan amalan-amalan kebaikan yang berpanjangan. Semoga amal kebaikan itu, dengan berbekalkan iman di dalam hati, berjaya menjadi bekalan yang berguna kepada kita bila tiba saat kita meninggalkan kehidupan dunia ini.
Marilah kita fikirkan bentuk sumbangan dan kesan dari amalan kita kepada mereka yang bakal kita tinggalkan juga satu hari nanti. Ini sejajar dengan firman Allah di dalam Surah Yasin, ayat 12:
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang (telah) mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (suratan) yang jelas nyata.”
Itulah kehidupan. Kita berurusan dengan masa yang sementara. Ia menjadi pilihan kita, samada dipenuhi dengan kebaikan dan jasabakti atau sebaliknya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita dengan ketenteraman jiwa, kebahagian dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat. Amin, Ya Rabbal ‘Alamin.
No comments:
Post a Comment