Friday, 1 May 2015

AMALAN BERMAAFAN MEMBINA JATIDIRI MUSLIM

Sikap memaafkan sesama umat Islam adalah salah satu sikap terpuji yang sangat dianjurkan oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raf ayat 199:

Yang bermaksud: “Terimalah kemaafan, dan perintahlah melaksanakan kebaikan, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil”.

FirmanNya lagi dalam surah an-Nur ayat 22:
Yang bermaksud: “Dan janganlah orang-orang yang memiliki harta serta kelapangan hidup dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Sifat pemaaf dan memberi kemaafan kepada orang lain mencerminkan salah satu sifat Allah s.w.t. yang Maha Pengampun. Ayat di atas menerangkan, bahawa sebagaimana kita ini sentiasa mengharapkan pengampunan dan kemaafan dari Allah s.w.t. dan  merasakan gembira tatkala menerima keampunan daripada Allah s.w.t.; Maka  begitulah juga  perasaan saudara-saudara kita apabila kita saling  bermaafan.  Sikap ini juga membawa kesan positif kepada jiwa manusia yang secara nalurinya tertarik kepada ketenangan dan kebebasan. Kebebasan daripada  belenggu hasad dan dendam yang  dialami oleh jiwa yang sukar untuk memaafkan orang lain.

Sekiranya kita jatuh ke dalam kancah hasad dengki ini, kita akan cenderung untuk mendoakan pelbagai perkara buruk terhadap orang lain seperti kurang rezekinya, ditimpa bencana dan sebagainya. Lebih buruk lagi sekiranya kita terjerumus pula di dalam perkara yang haram serta syirik seperti menggunakan ilmu hitam, bomoh, tangkal dan sebagainya yang dilarang agama dan boleh merosakkan aqidah dan iman kita. Oleh itu, jangan kita ambil ringan isu ini. Ia berpunca dari sifat hasad dan dengki  yang lahir dari hati yang tidak sedia memberi kemaafan.

No comments:

Post a Comment