Tuesday, 25 February 2014

Nani ‘bersahabat’ dengan Bujang Lapok

Orangnya kecil, namun bakat lakonannya besar. Sering dikaitkan dengan perwatakan ‘out spoken’, keberaniannya dalam berkarya juga digeruni ramai pelakon wanita di negara ini.
Buktinya siapa lagi aktres tempatan selain Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 28, yang berani membotakkan kepala semata-mata hanya kerana mahu memenuhi kehendak peranan?
Kelantangan Amani atau nama timangannya Nani, sama ada dari hasil kerjanya mahupun personaliti di luar set, pernah mengheret Nani dalam beberapa kontroversi yang turut mendapat perhatian. 

Namun di sebalik palitan pengalaman yang mendukacitakan itu, Nani sehingga kini belum digugat sebagai pemegang rekod Pelakon Wanita Terbaik (FFM19) termuda dalam sejarah industri perfileman tanah air kerana memenanginya ketika berusia 20 tahun iaitu pada 2006 menerusi filem Gubra arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, sekali gus menewaskan rekod Erma Fatima (22 tahun).
Foto
FOTO kenangan nani sekeluarga bersama nenek sempena Aidilfitri lebih 10 tahun tahun lalu.

Kejayaan dan pencapaiannya, yang tidak perlu dipertikaikan statusnya sebagai seorang bintang, mendorong keinginan penulis untuk mencoretkan latar kisah hidupnya dalam ruangan Jejak Bintang kali ini.

Kata orang, ibulah adalah individu yang paling arif soal anak mereka. Justeru, pada 20 Februari yang lalu sekitar jam 5.30 petang, penulis menjejaki bekas penulis New Straits Times (NST) yang juga guru lakonan, Fatimah Abu Bakar di kediamannya di Bandar Sri Damansara.

Mendengar celoteh Fatimah atau Kak Fati, 58, tatkala bercerita mengenai puteri keduanya yang dipanggil Nani itu, memang terlalu banyak perkara menarik ingin sekali penulis coretkan namun terpaksa memilih yang sesuai. 

Nani menurut Fati, dilahirkan beberapa jam selepas solat Subuh pada 10 Jun 1986 di sebuah Klinik Wanita di Taman Tun Dr Ismail.

“Saya nampak karakter Nani dari mula ketika hendak melahirkan dia, sampailah sekarang, sama saja. Dia selalu tak sabar-sabar. Berbeza dengan anak pengalaman melahirkan anak sulung saya, Aleya (Leya), proses kelahiran Nani lebih mudah mungkin kerana ini pengalaman kedua.

“Kurang daripada dua jam rasa sakit nak beranak, sampai saja di klinik tidak lama kemudian terus saya bersalin. Ingat lagi masa itu, suami dah maklumkan kepada semua ahli keluarga terdekat, tetapi mereka semua tidak sempat datang lebih awal.

“Mengimbas semula zaman kanak-anak Nani, dia dan kakaknya berkongsi banyak persamaan, cuma Nani lebih suka ‘berimaginasi’ daripada Leya. Mereka berdua ada ‘invincible friends’ dan sangat gemar menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Malah, selalu membayangkan mereka ada watak dalam filem yang mereka tonton. Dari kecil terutamanya Nani selalu menganggap Ajis, Ramlee dan Sudin itu wujud! Contohnya kalau saya nak naik kereta, Nani akan minta saya tunggu di luar dan beri laluan kepada Ajis, Ramlee dan Sudin masuk terlebih dulu kemudian barulah saya dibenarkan. Saya layankan saja kerana mahu biarkan mereka berfikiran kreatif.

“Selain sahabat-sahabat Bujang Lapok, Nani juga ada ‘imaginary friends’ bernama Raffle dan Zuniharita. Kurang pasti daripada mana dia dapat nama itu tetapi dia selalu bertutur sendirian dengan mereka.

“Yang kelakarnya dan sampai sekarang masih saya dan suami tak boleh lupa, Leya pernah menjerit ‘Pak Pak, Pencuri Pak’ dialog di dalam filem Nujum Pak Belalang, sehinggakan bapa dia panik ingat betul-betul pencuri masuk rumah!” katanya membesarkan anak-anak dengan bahan bacaan seperti buku dan menonton wayang.

Lagi berkenaan Nani, Fati berkata anaknya itu seorang yang ‘determined’ dan akan memastikan apa yang dihajatinya tercapai.

“Apa yang dia nak, dia akan pastikan dapat. Misalnya masa kecil dulu, dia dan Leya selalu bergaduh. Apabila Nani marah dengan Leya, dia akan cari patung mainan zirafah diperbuat dari kayu untuk pukul kakak dia kerana iatu satu-satunya mainan paling keras yang dia ada.

“Budak berdua ni kalau main, 10-15 minit saja kawan, lepas bergaduh. Jadi saya sudah faham kalau mereka tengah bermain, saya akan sorok patung zirafah itu.

“Amani sebenarnya tak suka bergaduh tapi dia akan melenting kalau di ‘provoke’. Apabila dia mula berdiri, Leya mesti lari. Tiada lain, Nani akan cari patung zirafah itu dan dia takkan berhenti selagi tak dapat belasah Leya.

“Cuma satu perkara, walaupun Nani orang kecil tetapi dia seorang yang ‘protective’ kalau ada siapa-siapa cuma ganggu kakak dia. Dia terlupa yang dia tu kecil. Selain itu cepat emosi juga,” katanya tertawa mengenangkan keletah anak-anak. Selain Nani dan Leya, anak-anak Fati dan Syed Rashid adalah Sharifah Aleysha, 21, serta Sharifah Aryana, 19.

Jarak usia tujuh tahun antara Nani dan adiknya Sharifah Alesya, membuat Nani begitu manja dengan ibunya. Sehingga pernah satu ketika Nani berasa terasing dan menganggap dirinya bukan lagi kesayangan keluarga.

Memegang ‘title’ paling riuh dalam keluarga, Nani mempunyai bakat meniru gaya individu yang menarik perhatiannya.

No comments:

Post a Comment