Monday 16 May 2016

MUHASABAH AMALAN DI BULAN SYAABAN
Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’I, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bulan Syaaban adalah bulan di mana manusia lalai terhadapnya. iaitu bulan antara Rajab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan padanya diangkat segala amalan hamba kepada Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku amat suka untuk berpuasa ketika amalanku dinaikkan”.

Hadith ini mengingatkan kita bahawa bulan Syaaban seolah-olah menjadi bulan untuk kita semakin giat menyediakan jiwa, kerohanian dan bahkan fizikal kita untuk melangkah masuk ke dalam bulan Ramadan. Saudara, bulan Ramadan merupakan bulan di mana pahala, rahmah dan kebaikan dicurahkan Allah tanpa ada sempadan. Maka lebih lagi perlu untuk kita ini menyediakan diri kita agar layak menjadi ahli yang dikurniakan kemuliaan.
Firman Allah di dalam surah Yusuf ayat 53:

Maksudnya: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Saudara, semestinya menundukkan hawa nafsu merupakan suatu proses berterusan. Manusia tidak mampu lalai dan membiarkan nafsunya menguasai dirinya. Maka di dalam memastikan nafsu kita ini terpandu selalu, pastikanlah kita tidak lalai daripada berzikir mengingati Allah s.w.t. Nabi s.a.w. pernah mengajarkan doa:

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang Maha Hidup dan Maha berdiri dengan sendirinya, dengan rahmatMu aku memohon bantuan, perbaikilah segala urusanku dan jangan Kau tinggalkan aku untuk diriku walau sekelip mata.” [Hadith riwayat Imam An-Nasa’i dan Al-Baihaqi]

Semoga Allah membantu kita dalam meraih kebaikan bulan Syaaban dan memberkati kita dengan peluang bertemu Ramadan nanti. Semoga Allah menjadikan kita dan keluarga di kalangan mereka yang berhak menerima kelebihan Syaaban dan Ramadan. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Post a Comment