REMBAU - Tindakan seorang operator pengeluaran keluar dengan seorang kenalan yang baharu dikenalinya dua minggu lalu menerusi aplikasi WeChat mengundang padah apabila dia dirogol lelaki berkenaan.
Menurut sumber, mangsa berusia awal 20-an itu bersetuju untuk bertemu kenalan WeChat berkenaan yang ingin mengajaknya keluar makan malam pada jam 10 malam, 25 Januari lalu.
Katanya, lelaki yang tinggal di Kampung Astana Raja itu menjemput mangsa menaiki motosikal, sebelum mengubah haluan ke kampung berkenaan dengan alasan ingin ingin mengambil barang di rumahnya.
"Sebaik tiba di rumah, lelaki itu menyuruh mangsa tunggu di luar, namun mengubah fikiran dan minta mangsa masuk ke dalam kerana bimbang dilihat penduduk kampung.
"Risau dengan hal itu, mangsa terus masuk ke dalam rumah. Lelaki itu telah memaksa mangsa melakukan hubungan seks tetapi mangsa enggan dan menyuruh kenalannya itu menghantarnya pulang," katanya, di sini, semalam.
Tambah sumber lagi, lelaki berkenaan enggan menghantar wanita itu pulang dengan alasan motosikalnya telah diambil rakannya.
"Mangsa dikasari dan ditolak ke katil sebelum dirogol. Kira-kira jam 12.30 tengah malam, lelaki berkenaan menghantar mangsa ke persimpangan kampung dan mangsa terpaksa menghubungi rakannya untuk pulang.
"Trauma dengan kejadian itu, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Kota keesokan harinya," katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi mendapatkan rawatan susulan kejadian berkenaan.
“Suspek berusia 20-an dan bekerja sendiri itu berjaya ditahan di lobi sebuah hotel di Seremban kurang 17 jam selepas laporan polis dibuat.
“Suspek ditahan reman 27 Januari lalu hingga 3 Februari ini bagi siasatan lanjut,” katanya.