Wednesday, 20 January 2016

 


Perkahwinan selama empat tahun pelakon Fasha Sandha dengan suaminya, Rizal Ashram Ramli berakhir hari ini apabila pasangan itu sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Rizal Ashram atau lebih dikenali sebagai Jejai, 40, melafazkan talak tersebut di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab.
Peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, memberitahu media selepas prosiding tertutup dalam kamar, anak guamnya memfailkan permohonan cerai pada Isnin lepas mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Ditanya mengenai hak penjagaan dua anak hasil perkahwinan Fasha Sandha dan Jejai, peguam itu enggan memberi sebarang kenyataan.
Selepas selesai prosiding itu, Jejai yang ditemani adik iparnya dilihat menangis sebaik meninggalkan mahkamah terlebih dulu sebelum Fasha Sandha melangkah keluar.
Fasha Sandha yang memakai baju berwarna ungu manakala Jejai, seorang ahli perniagaan, yang berpakaian kot lengkap, kelihatan hadir secara berasingan di mahkamah.
Pasangan tersebut bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal, dua tahun dan Putri Raysha Jemaima, setahun.
Ketika ditemui pemberita, Fasha Sandha hanya berdiam diri sambil menangis teresak-esak sebelum pembantu peribadinya menyerahkan satu kenyataan daripada pelakon itu.
Dalam kenyataan itu, Fasha Sandha berkata penceraian itu adalah jalan yang terbaik untuk kedua belah keluarga dan beliau telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya.
"Saya reda dan akan meneruskan kehidupan bersama kedua-dua anak saya, Putra Rayfal, dan Putri Raysha," katanya yang turut ditemani pelakon dan penyanyi, Nor Farahdhiya Mohd Amin.
Jejai sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nora Danish namun berakhir dengan penceraian pada 13 Ogos 2008 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Pasangan itu bernikah pada 20 Jun 2006 di Pusat Konvensyen Sime Darby di Sri Hartamas dan dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal, yang berusia tujuh tahun.
Jejai diwakili peguam Ahmad Badri Idris.
-Bernama

No comments:

Post a Comment