'Kalau dapat kembar lagi seronok!'
Tindakan pelakon dan pengacara, Fouziah Gous, 33, mewujudkan akaun Instagram untuk bayi lelakinya Muhammad Zeeshan Md Zhafran yang kini berusia sebulan 12 hari bukan mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya ingin menjadi diri sendiri.
Menggunakan nama Zhafoujr, akaun Instagram itu sudah diikuti hampir 16,000 peminat sejak ia diwujudkan kira-kira sebulan lalu.
“Tidak ada apa perlu dirahsiakan kerana semua itu adalah perkara biasa. Lagipun saya mahu menjadi diri sendiri dan tidak perlu nak ikut cara orang lain.
“Apa saja yang dikongsikan itu datangnya dari hati. Alhamdulillah, setiap kali memuat naik gambar anak, tidak ada lagi komen negatif. Malah ada yang meminta saya memuat naik wajah Zeeshan setiap masa bagi mengubat rasa rindu mereka,” katanya.
Pun begitu, Fouziah menyelar sikap segelintir individu yang sering kali memberi gambaran negatif dan menyalah anggap setiap perbuatan ibu bapa terhadap anak mereka yang dimuat naik di Instagram.
“Saya percaya setiap ibu bapa lebih tahu apa mereka lakukan. Malah sesiapa saja baik dalam kalangan artis atau orang biasa, masing-masing ada cara tersendiri membesarkan anak mereka.
“Cuma apabila perbuatan itu daripada selebriti, impaknya lebih menarik perhatian sehingga ia kadang-kadang menimbulkan pertikaian dalam kalangan peminat. Jadi apabila saya mengambil keputusan mewujudkan akaun Instagram untuk anak, saya sudah bersedia dari segi mental,” katanya.
Menurut bekas pengacara program Nona ini, dia juga sering meluangkan masa melihat Instagram individu lain bagi melihat gelagat dan tip berkenaan anak yang dikongsikan di situ.
Teruja dengan tanggungjawab baru bergelar ibu, Fouziah yang baru habis tempoh berpantang selama 44 hari Sabtu lalu sudah bersedia menambah cahaya mata kedua bila-bila masa.
Malah, dia tidak kisah sekiranya dikurniakan zuriat setiap tahun.
“Sejak berkahwin, saya dan suami tidak pernah merancang soal anak. Lambat atau cepat, itu sudah ditetapkan Allah SWT.
“Saya juga reda seandainya Allah menetapkan rezeki kami seorang saja anak. Namun sekiranya dikurniakan lebih, ia satu rahmat. Kalau dapat anak kembar lagi seronok,” katanya.
Pada masa sama, Fouziah tidak melupakan tanggung-jawabnya ke atas suami biarpun tumpuannya kini lebih kepada anak lelaki mereka.
“Walaupun suami jenis tidak kisah, saya tidak boleh abaikan tanggungjawab sebagai isteri. Saya perlu bersikap adil dan mengambil berat kebajikan dirinya.
“Setiap hari sebelum pergi kerja, saya akan menyiapkan keperluan suami sama seperti sebelumnya. Begitu juga dengan makan dan minum selepas pulang kerja,” katanya.
Tambah Fouziah lagi, kehadiran anak sulung mereka itu tidak sedikit pun merubah kasih sayang terhadap suaminya meski rutin hariannya berubah 360 darjah.
Terdahulu, Fouziah ditemui pada majlis akikah anak sulungnya di kediaman mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.
Majlis bertemakan penerbangan itu dihadiri sanak saudara kedua-dua belah pihak, jiran tetangga, rakan terdekat dan pihak media.
“Saya memilih tema ‘aviation’ kerana mahu lari daripada tema akikah sebelum ini. Memandangkan majlis ini adalah hari meraikannya, saya memilih tema yang sesuai dengannya.
“Bukan bermakna saya mahu dia menjadi juruterbang, tetapi lebih kepada suasana. Lagipun, sebelum ini saya dan suami pernah terbabit dalam industri penerbangan,” katanya.
Selasa, 12 January 2016 @ 12:46 PM
No comments:
Post a Comment