Thursday 31 December 2015

MP PAS pertahan muzakarah dengan pelbagai pihak

Dikemaskini 
 
Seorang ahli Parlimen PAS mendakwa ada usaha memperalatkan media baru untuk mengecam dan memperkecilkan pendekatan parti itu untuk berbincang, bertemu dan bermuzakarah dengan pelbagai pihak sama ada organisasi politik mahupun pelbagai badan bukan kerajaan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman berkata PAS yang berjuang di arena dakwah dan politik sejak 1951, telah melalui pelbagai pengalaman dan melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan dalam membawa risalah perjuangannya antaranya tahaluf Siyaasi dengan pelbagai parti politik.

Untuk itu, katanya, presiden PAS dan beberapa pimpinan turut berucap sepentas dengan presiden Umno dalam program anjuran Multaqa Alumni Al Azhar.
"(Manakala) Datuk Takiyuddin Hasan selaku setiausaha agung bersama Datuk Mustapa Ali, pengarah pilihanraya PAS pula dihantar oleh Jawatankuasa Kerja PAS pusat menghadiri persidangan agung PERKASA," katanya.
Namun, katanya, pendekatan terkini PAS itu mungkin tidak disenangi oleh setengah pihak berkepentingan "yang bimbang PAS menjadi lebih kuat, berpengaruh dan berperanan lebih besar dalam arena politik tanah air".
"Justeru, media baru diperalatkan untuk mengecam dan memperkecilkan pendekatan ini," kata beliau yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS pusat, dalam satu kenyataan hari ini.
"PAS, berpandukan al-Quran dan Sunnah, akan terus menjadi perintis, pemandu dan pembimbing kepada umat khususnya rakyat Malaysia dalam menggarap politik kepartian yang matang demi kemaslahatan rakyat khususnya marhaen," katanya.
Sebelumnya, kata beliau, pelbagai pihak dibawa sepentas bersama PAS bagi memperkukuhkan agenda rakyat menerusi kongres rakyat.
"Pendekatan ini bertujuan memecah tembok dan penghadang yang menghalang dakwah dan politik Islam diperturunkan sehingga ke akar umbi masyarakat," tambahnya.
Ia juga, katanya, bagi menampilkan wajah PAS sebagai wadah pembangkang politik yang konstruktif iaitu mengkritik kerajaan semasa secara membina dan menasihati secara lunak dan tegas serta berprinsip.
"PAS pula bakal mengemukakan pandangan alternatif bagi pelbagai kemelut negara melibatkan ekonomi termasuk alternatif percukaian GST dan konsep memampumilikkan perumahan yang baru sahaja dimuzakarahkan oleh pimpinan tertinggi PAS sabtu lalu," katanya.
1

No comments:

Post a Comment