KLUANG - Kira-kira RM2.04 juta nilai kerugian dianggarkan setakat ini hasil kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan perumahan di Kluang semalam.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Md Jais Sarday berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan terperinci daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bagi memudahkan permohonan bantuan diberikan kepada agensi berkaitan.   

Laporan MKN dijangka keluar esok, kata beliau.   

"Buat masa ini, kerajaan negeri memperuntuk RM100,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Johor bakal memberi bantuan berjumlah RM600,000.   

"Kerajaan negeri juga memohon bantuan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu dari segi memperbaiki kerosakan rumah," katanya  yang juga Adun Mahkota kepada pemberita semasa melawat Taman Indah Jaya di sini yang turut terjejas.

Sehingga 4 petang tadi, sebanyak 266 keluarga dari lapan taman perumahan terjejas akibat ribut yang berlaku selama kira-kira 15 hingga 20 minit pada petang Selasa.   

Selain Taman Indah Jaya 1 & 2, yang turut terjejas ialah Taman Ko-Rakyat, Taman Matahari, Taman Dato Amar Diraja, Taman Sri Paya, Taman Ilham dan Taman  Bertuah.   

Sejak malam semalam, Majlis Perbandaran Kluang beserta agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba dan Penyelamat, Tenaga Nasional Bhd dan Rela gigih dengan usaha menyelamat, membersihkan kawasan perumahan yang terjejas serta membaik pulih kuasa elektrik di kawasan-kawasan berkenaan yang teruk akibat ribut yang pertama kali melanda daerah itu.   

"Saya jangkakan usaha pemulihan tidak akan mengambil masa lebih dua minggu bagi memastikan kesejahteraan dan kehidupan seharian mereka tidak terjejas," kata Md Jais.   

Beliau menyifatkan kejadian ribut semalam adalah yang terburuk dan pertama kali berlaku di Kluang. - Bernama