Friday, 26 June 2015

AL QURAN

1: Pelajari bacaan Al-Quran.

Bayangkan saudara hanya dengan membacanya sahaja, kita sudah dijanjikan dengan pelbagai ganjaran dan kelebihan. Apatah lagi ditambah dengan memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungannya. Allahu Akbar!

Saudara, bilakah kali terakhir mata kita menatap ayat-ayat suci yang datang daripada Allah s.w.t. ini?

Dengan teknologi hari ini, hampir tiada alasan lagi untuk kita katakan yang kita tidak mempunyai akses kepada Al-Quran. Jika dahulunya mungkin agak mencabar untuk membawa mushaf dan memastikan kita mempunyai wuduk setiap waktu, hari ini setiap daripada kita mempunyai telefon bijak yang boleh menyimpan aplikasi Al-Quran. Sebagaimana tangan kita tidak melepaskan telefon bijak kita, maka sekuat dan sekerap itu jugalah hendaknya kita berdamping dan mengambil manfaat daripada Al-Quran. Kita perlu menjadikan Al-Quran sebahagian daripada gaya hidup kita.

Renungkanlah saudara, hadith Nabi s.a.w. yang ertinya: “Sesiapa membaca Al-Quran dan ia mengamalkan kandungannya, pada hari kiamat kelak, Allah akan memakaikan mahkota kepada ibu bapanya. Cahaya mahkota ini lebih baik daripada cahaya matahari yang menerangi rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana pendapat kamu mengenai orang (si anak) yang mengamalkan ini.” [Hadith riwayat Abu Daud]

Subhanallah! Lihatlah betapa mulianya dan besarnya penghormatan yang Allah berikan kepada ibu bapa yang telah bersusah payah mendidik anak-anaknya untuk mendekati dan menyayangi Al-Quran. Bayangkan bagaimana hebat dan tingginya ganjaran Allah buat si anak yang mengamalkan Al-Quran itu?

Oleh itu, jangan biarkan anak-anak dan keluarga kita jauh daripada kitab suci ini kerana ia sumber keberkatan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Banyakkanlah membaca Al-Quran. Sesungguhnya rumah yang tidak dibacakan Al-Quran akan sedikit kebaikan padanya, akan banyak keburukan di dalamnya dan akan menyempitkan dan menyusahkan penghuninya.” [Hadith riwayat Al-Daruqutni]

2: Mengamalkan ajarannya.

Nabi s.a.w. menyatakan: “…Sesiapa membaca Al-Quran dan ia mengamalkan kandungannya”. Oleh itu, usaha untuk mengamalkan ajaran Al-Quran itu merupakan kunci kedua untuk kita meraih kebaikan serta keberkatan daripadanya.

Pastikan kita memahami Al Quran untuk mengamalkan ajarannya. Kita perlu memahami apakah kisah-kisah yang ada di dalamnya, apakah tema-tema utama al-Quran yang mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian kita dan keluarga.

No comments:

Post a Comment