Monday, 22 June 2015

‘Ibu, ini kaki adik’

Oleh Nurul Huda Kosnon
Kuala Lumpur: Pilu hati seorang ibu apabila anak perempuannya yang berusia dua tahun hampir setiap hari memegang kedua-dua kakinya sambil memberitahu dia mempunyai kaki, tetapi hakikatnya hanya mampu mengensot untuk bergerak akibat penyakit spina bifida.
Nursyaza Azzahra Syukri atau mesra dengan panggilan Azzahratidak boleh berjalan kerana cacat tulang belakang sejak lahir, tetapi mungkin belum begitu mengerti, dia hanya tersenyum apabila dimaklumkan ibunya, Siti Fauziah Zakaria,35, mengenai penyakitnya.
Siti Fauziah dari Gual Sitok, Rantau Panjang, Kelantan, berkata, Azzahra anak bongsu daripada empat beradik seorang yang ceria dan petah berkata-kata, tetapi terpaksa menanggung derita.
“Hampir setiap kali bangun tidur, dia akan memegang kedua-dua kakinya dan memberitahu saya, ‘ibu, ini kaki adik’.
“Saya kemudian memaklumkan kepadanya adik tak boleh berjalan. Ketika itu, hanya Tuhan saja yang tahu betapa sedihnya saya melihat keadaannya, apatah lagi dia hanya tersenyum sambil memegang kakinya,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika mengandungkan Azzahra , dia dan suami, Syukri Che Lateh, 46,amat gembira, tetapi apabila kandungan berusia lima bulan, doktor memaklumkannya ada yang tidak kena dengan bayinya.
“Doktor beritahu, bayi saya mempunyai kecacatan kaki dan selepas dikenal pasti, doktor mengesahkan bayi saya menghidap spina bifida.
"Siapa tidak sedih, anak yang dikandung sembilan bulan tidak normal seperti kanak-kanak lain, namun saya reda dan menganggap ia anugerah paling bernilai buat saya dan suami,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadika, manakala suaminya kakitangan kerajaan.
Siti Fauziah berkata, akibat penyakit itu, Azzahra menjalani tiga pembedahan ketika usianya tiga hari sehingga tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian , namun keadaannya tidak berubah.
Katanya, akibat penyakit itu juga, Azzahra tidak boleh mengawal pembuangan air kecil dan terpaksa menggunakan tiub pada saluran air kencing.
“Azzahra turut mengalami masalah cecair berlebihan di kepala dan menerusi pembedahan, tiub dipasang di kepala bagi menyalurkan cecair ke bahagian perut.
“Pada masa sama, tiub juga digunakan bagi membolehkannya makan dan minum susu,” katanya.
Menurutnya, Azzahra memerlukan perhatian sepenuh masa dan dia membawa anaknya itu ke tadika KEMAS berhampiran rumahnya ketika bekerja
Katanya, anak bongsunya memerlukan rawatan dan pemeriksaan tiga kali sebulan di HUSM.
“Kos rawatan lebih 1,600 sebulan. Kami terpaksa berhempas pulas mencari wang bagi menanggung kos itu termasuk menggunakan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diberikan kepada Azzahra,” katanya.
Bagi sesiapa yang mahu membantu meringankan beban Siti Fauziah boleh menghubunginya ditalian 013-9504122
Artikel ini disiarkan pada : 
Rabu, 25 Februari 2015 @ 10:19 PM 
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/33098cetak?m=1#sthash.qMZ6lz4q.dpuf

No comments:

Post a Comment