KUALA LUMPUR - Institusi kewangan perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa memperkemas sistem pengkomputeran mesin juruwang automatik (ATM) mereka bagi mengelak penjenayah siber melarikan wang di dalamnya dengan mudah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sepatutnya pihak bank menyedari keperluan perkembangan teknologi semasa yang sentiasa pesat berubah dan menjadikan sistem pengkomputeran lama mudah rapuh dan diceroboh.

“Terlalu banyak bijak pandai dalam IT (teknologi maklumat) sekarang, maka kita perlu adakan sistem keselamatan mantap bagi mengelak kejadian ini berulang,” katanya yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) kepada Bernama.