GOPENG – Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila bahagian hadapan kenderaan itu tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Taiping, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 petang di Kilometer 303, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Gua Tempurung itu menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, S Ganasan berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pemandu lori berkenaan sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 1.58 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori jenis Daihatsu seberat satu tan yang membawa muatan kertas kotak sedang terbakar.

“Kita turut menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bagi memadam kebakaran. Api berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Ganasan berkata, pemandu lori berusia 57 tahun sempat memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan selepas ternampak api di bahagian dashboard.