SHAH ALAM - Pas Selangor masih belum memutuskan sebarang ketetapan terperinci mengenai cadangan empat Ahli Parlimen parti itu supaya menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) semalam.

Bendahari Pas Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan tersebut kerana maklumat lanjut mengenainya masih belum diterima atau dijelaskan oleh pihak terlibat.

“Kita (Pas Selangor) tidak boleh buat keputusan buat masa ini kerana kita kena berbincang pada peringkat kepimpinan Pas negeri dulu. Kita akan adakan pertemuan dan perbincangan,” katanya ketika ditemui di lobi Dun Selangor, semalam.

Kelmarin, empat Ahli Parlimen dari Pas, iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam); Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja); Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) menggesa kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

Cadangan itu bagi memastikan kerajaan Selangor tidak lagi perlu menerima arahan daripada majlis agama itu dalam soal penguatkuasaan berkaitan hal ehwal agama Islam di negeri tersebut.

Perkara tersebut timbul sebagai tindakan kepada keputusan Mais yang tidak bersetuju untuk memulangkan semula kitab Bible versi Bahasa Melayu setelah dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada Persatuan Bible Malaysia, Januari lalu.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Abdul Rani Osman berkata, semua pihak yang terlibat disarankan supaya duduk berbincang daripada terus berselisih faham dalam isu kitab Bible.

Beliau secara peribadi turut menyatakan persetujuan terhadap keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang memutuskan tiada pendakwaan terhadap isu rampasan kitab Bible oleh Jais dan menutup kes itu.

Katanya, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menghormati antara satu sama lain tidak mengira agama malah menganggap perkara seumpamanya tidak sepatutnya timbul.

“Saya nampak perkara ini sepatutnya tak wujud, dalam hal ini kita jangan saling menyalahkan antara satu sama lain. Saya rasa lebih baik kitab itu tidak dihapuskan,” katanya.