MELBOURNE - Australia meratapi kepergian kesemua mereka dalam sebuah pesawat Malaysia yang hilang, terutama penumpang Australia, Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu parlimen di Canberra hari ini.
  
Australian Associated Press (AAP) melaporkan, dengan keluarga Australia yang sedang bersedih menghadiri parlimen, Abbot membawa usul takziah.
  
Beliau berkata, banyak serpihan telah kelihatan di bahagian selatan terpencil Lautan Hindi, namun cuaca buruk setakat ini menghalang kutipan mana-mana dari serpihan itu.
  
"Kita meratapi kesemua 239 penumpang dan kru. Kita khusus meratapi enam warga Australia dan seorang pemastautin Australia yang tentunya dianggap telah 'pergi' dan kita bersedih bersama keluarga mereka dan orang-orang yang mereka cintai," kata beliau.
  
Pasangan Queensland Ian dan Catherine Lawton serta Rodney dan Mary Burrows adalah antara mereka yang hilang, demikian juga pasangan Sydney Yuan Li dan Naijun Gu, dan rakyat New Zealand Paul Weeks, seorang pemastautin Australia. 

Abbott berkata, beliau telah menemui keluarga Lawton dan Burrows, yang berada di galeri parlimen menyaksikan parlimen menyatakan ucapan takziah.
  
"Saya beri jaminan kepada mereka bahawa Australia akan melakukan segala mungkin untuk mengumpul apa yang kita dapat dari selatan Lautan Hindi agar mereka dapat merasakan kehampiran dan akhirnya ketenangan yang muncul bersama pemahaman yang lebih mendalam terhadap apa yang berlaku," kata beliau.
 
 Anggota Parlimen dan hadirin lain di kamar Dewan Perwakilan berdiri tafakur seminit.
  
Abbott memuji kerjasama dan semangat profesional yang ditunjukkan dalam usaha mencari di peringkat antarabangsa. 
  
Pemimpin pembangkang Bill Shorten berkata nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 adalah satu tragedi dahsyat, tidak dapat dibayangkan seabad lalu pada hari-hari sebelum era penerbangan udara komersil.

"Kita mudah saja menganggap bila kita memasuki tiub-tiub aluminium ini - dengan kuasa enjin yang mengagumkan, dikendali oleh petugas cemerlang - kita dijamin selamat," AAP menyebut Shorten sebagai berkata.
  
Kehilangan penerbangan MH370 adalah satu ingatan bahawa tidak ada apapun yang dapat dianggap pasti, katanya.
  
"Saya tidak dapat bayangkan pada saat ini kesedihan yang dialami oleh keluarga-keluarga berkenaan."
 
 "Saya tahu bagi pihak negara kita bahawa kita semua adalah bersatu dengan cara kecil atau besar bersama kedukaan yang anda rasakan hari ini," kata Shorten. 
  
Speaker Bronwyn Bishop turut menyatakan kesedihannya. - Bernama