Sunday, 22 June 2014

TELUK INTAN: Jawatan sebagai menteri kabinet yang dijanjikan kepada calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong tidak ada kena mengena sama ada presiden Gerakan itu menang atau kalah di Teluk Intan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata satu-satunya alasan jawatan menteri diberikan kepada Mah adalah disebabkan calon BN itu merupakan presiden Gerakan, parti komponen BN.

"Pengumuman seperti ini tidak pernah dibuat. Berapa banyak pilihan raya kecil telah kita buat? Mengapa tiada siapa dijanjikan jawatan exco atau menteri? Mengapa Mah begitu istimewa? Fikirkanlah," katanya dalam satu ceramah di hadirin lebih 1,000 orang malam tadi.

Katanya, bekas presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon pernah diberikan jawatan menteri sebelum ini biarpun tewas dalam pilihan raya.

Malah kata beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel tewas di Hulu Selangor, tetapi dilantik sebagai senator seterusnya menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

"Mereka kalah tetapi dilantik sebagai senator melalui 'pintu belakang'," katanya yang meminta pengundi di Teluk Intan membuat keajaiban dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Ketua Publisiti DAP, Tony Pua berpendapat pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Beijing sebagai langkah terdesak untuk memastikan kemenangan BN.

"Mereka takut landskap politik akan berubah selama-lamanya dengan kemenangan Dyana ini. Mereka takut jika politik perkauman yang dibawa oleh BN dan UMNO tidak lagi memberi kesan di masa hadapan," katanya kepada Astro AWANI selepas ceramah.

Katanya, DAP akan memantau apakah Mah akan menerima jawatan senator atau mengikut jejak langkah Koh Tsu Koon, yang didakwa berdolak-dalik dalam soal itu.

"Ia akan menjadi satu soalan integriti dan kredibiliti masa depan jika dua presiden berkata mereka tidak akan menerima tetapi kemudian lakukan. Saya fikir beliau akan ditawarkan dan mungkin terima," katanya.

Malam tadi, Najib memberitahu media Malaysia di China bahawa presiden Gerakan sentiasa menjadi menteri, jadi kemenangan BN Sabtu ini akan menjamin kedudukan Mah dalam Kabinet.

"Gerakan menjadi ahli pengasas BN dan presiden Gerakan sentiasa menjadi menteri.

"Jika Mah menang, maka saya boleh mengumumkan malam ini dia akan menjadi ahli Kabinet," Najib dilaporkan sebagai berkata.

Mah dijangka menghadapi saingan sengit daripada calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud di kerusi Parlimen Teluk Intan Sabtu ini.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Gohttp://onthego.astro.com.my

No comments:

Post a Comment