SANDAKAN - Sabah menjadi negeri pertama pelaksanaan Jelajah Taklimat Gerak Kerja Biro Pemuda Umno pusat bagi memberi penjelasan kepada anggotanya di peringkat bahagian.
Pengerusi Biro Latihan dan Pendidikan Politik Pemuda Umno Amrizan Mohd Ali berkata jelajah yang bermula semalam di Tawau itu membabitkan Pemuda Umno Bahagian Kalabakan, Tawau, Semporna dan Silam yang dijalankan tiga biro iaitu Latihan dan Pendidikan Politik, Pengkaderan Politik dan Aduan Komuniti.
"Sudah hampir setahun biro-biro dalam Pemuda Umno diwujudkan dan masing-masing telah bergerak untuk kita formulakan pendekatan strategik yang terbaik.
"Ia juga sejajar dengan pendekatan progresif Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang mahu program dianjurkan bukan berdasarkan kepada jumlah tetapi tumpuan kepada hasil dapat dikeluarkan," katanya ketika ditemui selepas taklimat itu di sini malam tadi.
Amrizan yang juga Ketua Pemuda Umno Papar berkata pelaksanaan siri jelajah itu merupakan sebahagian pendekatan Pemuda Umno pusat untuk memperoleh maklum balas dan memastikan pemuda Umno di negeri dan bahagian dapat memahami program dianjurkan setiap biro Pemuda Umno pusat.
Taklimat kedua telah dilaksanakan di Bahagian Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Kinabatangan dan Beluran sementara siri terakhir taklimat akan diadakan di Kota Kinabalu, hari ini. - Bernama