KAMUNTING - Lima lelaki nyaris maut apabila kereta dinaiki terbakar tiba-tiba  ketika melalui sebuah jambatan di Jalan Kamunting berhampiran Balai Polis Kamunting.

Pemilik kenderaan, Wan Mohd Lokman Wan Mohd Zulkifli, 29, sempat menyelamatkan diri bersama empat lagi rakannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, kereta jenis Proton Waja dinaiki lima lelaki berkenaan tiba-tiba terbakar ketika melalui kawasan itu.

Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota bomba sampai di lokasi kejadian kira-kira jam 1.45 petang dan berjaya memadamkan kebakaran pada jam 2.10 petang.

“Akibat kebakaran itu hampir 60 peratus kereta berkenaan musnah iaitu di bahagian enjin,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

“Sehingga kini, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.