TELUK INTAN - Empat beradik warga emas berusia antara 62 hingga 76 tahun, antara pengundi PRK Parlimen Teluk Intan yang melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari ini.
  
Adik bongsu Asma Nawawi, 62, berkata mereka berempat tidak pernah ketinggalan daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali pilihan raya.
  
"Kami tinggal berdekatan di Kampung Selabak Dalam dan menjadi kebiasaan untuk mengundi bersama setiap kali tibanya pilihan raya. Kami tiba seawal 8 pagi dan semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui Bernama di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Selabak, di sini hari ini.
  
Turut bersama abangnya, Nik Sahi, 68, dan dua kakaknya Rokiah, 76, serta Yasuthi, 86.
  
Yasuthi pula berkata memang menjadi kebiasaan mereka untuk keluar mengundi setiap kali pilihan raya.
  
 "Memang seronok mengundi serentak dan balik bersama-sama selepas menunaikan tanggungjawab. Dulu saya mengundi seorang tetapi bila adik-adik dah besar dan layak, kami pun pergi bersama-sama," katanya.
  
Asma berharap pembangunan di kawasan kampungnya dan infrastruktur seperti jalan raya yang lebih elok bagi memudahkan golongan warga emas seperti mereka dapat diadakan.
    "Selain itu, kami warga emas berharap wakil rakyat dan kerajaan dapat memberi bantuan kebajikan kepada golongan ini kerana ramai anak muda keluar bekerja di bandar, dan meninggalkan kami di kampung," katanya. - Bernama