Monday, 2 June 2014

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mengedar pelbagai jenis dadah pada 19 Mei lalu.

Muhammad Mustafli Abdullah@Mustaffa, 29, dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tuduhan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, pada prosiding semalam, tiada pengakuan direkodkan dan kes bersambung pada 29 Jun depan bagi menunggu laporan kimia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu jam 1.45 pagi pada 19 Mei lalu di sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Gemilang, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Siasatan terhadap kes itu dijalankan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Firdaus Fauzi.

Akhbar Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan lima beranak termasuk tiga adik-beradik berusia antara 25 hingga 29 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kelima-lima suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Pangsapuri Ladang Gemilang dan Kampung Pengkalan.

Menurutnya, hasil serbuan itu, polis merampas dadah heroin seberat 32.5 gram dan pil kuda seberat 199.3 gram serta wang tunai berjumlah RM44,000 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM72,000.

Beliau berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan sejak April lalu yang mendapati terdapat pengedaran dadah khususnya pil kuda dan heroin di kawasan Ladang, Tanjung dan sekitar Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment