SESUNGGUHNYA, JODOH ADALAH TAKDIR ALLAH
“jangan terlampau benci, kerana suatu hari nanti, pasti akan timbul perasaan sayang”
Submitted by 91468 on 19 April 2017.
Kategori Artikel:
Saya berkenalan dengan si dia ketika kami berada di tingkatan 3. Pada waktu itu saya dilantik sebagai penolong ketua kelas manakala si dia dilantik sebagai ketua kelas. Kami sering sahaja mempunyai kefahaman dan pendapat yang berbeza dan sering bertengkar. Disebabkan terlalu tertekan apabila kami sering ditugaskan untuk melakukan kerja bersama, saya membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi seorang penolong kelas. Tanggungjawab itu saya serahkan pada sahabat baik saya sendiri.
Setelah masing-masing tamat persekolahan, saya ditawarkan ke sebuah institusi awam, manakala si dia telah mendapat tawaran ke luar negara di atas keputusan yang cemerlang. Saya tidak pernah terlintas untuk menghubunginya, ini kerana perasaan benci semasa di zaman persekolahan itu masih kekal di dalam hati saya. Apabila si dia pulang ke Malaysia, kawan-kawan bercadang untuk mengadakan reunion bersama batch kami. Pada waktu itu, kami berasa sedikit janggal untuk bertegur sapa dek kerana kami masih lagi membenci antara satu sama lain.
Siapa sangka, perasaan benci itu akhirnya bertukar kepada ‘suka’. Saya sendiri tidak menyangka bagaimana perasaan itu boleh wujud tanpa kami sedari. Orang tua pernah berkata “jangan terlampau benci, kerana suatu hari nanti, pasti akan timbul perasaan sayang” dan akhirnya, saya mengaku akan kebenaran ungkapan itu, ternyata ianya ada betulnya. Pada asalnya saya sendiri berasa sedikit keliru, apakah ianya benar sudah tertulis jodoh saya dengan dia? Saya lakukan solat istikharah, dan hubungan kami menjadi semakin erat, saya berasa cukup tenang apabila bersamanya, dan kami sudah mula berbincang untuk meneruskan hubungan kami ke arah yang lebih serius. Akhirnya, kami berdua telah selamat diijabkabulkan.
Hari ini, usia perkahwinan kami telah genap setahun. Walaupun kami masih belum dikurniakan dengan cahaya mata, tetapi kami cukup bahagia dengan rumah tangga yang dibina. Kami berharap agar ianya berkekalan sehingga ke akhir hayat. Apa yang saya cuba sampaikan disini,sesungguhnya JODOH ADALAH TAKDIR ALLAH. Sejauh mana kita cuba lari dari seseorang, kalau sudah ditakdirkan kita bersamanya, pasti akhirnya akan bertemu jua.
Allah Swt berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (QS. Al Baqarah: 216).
Sedangkan jodoh kita semuanya rahsia Allah SWT. Bila waktunya tiba? Dengan siapa kita dipertemukan? Dan adakah ia benar-benar orang yang soleh? Semua jawapannya ada pada yang Maha Esa
Sedangkan jodoh kita semuanya rahsia Allah SWT. Bila waktunya tiba? Dengan siapa kita dipertemukan? Dan adakah ia benar-benar orang yang soleh? Semua jawapannya ada pada yang Maha Esa
No comments:
Post a Comment