Friday 14 April 2017

Ringksan...

Yan Bai digeruni dalam “dunia jenayah” yang sering dikaitkan dengan sindiket mengedar dadah, pelacuran, pemerasan wang perlindungan, keganasan, perjudian dan rusuhan bagi mempertahankan “nombor” masing-masing hingga mengorbankan nyawa.

Sebagai ketua satu-satunya kumpulan samseng Melayu Omega, Yan Bai juga dalam senarai paling dikehendaki perisik polis bukan saja di sini malah di seberang Tambak.

Selepas beberapa minggu ditahan di lokap Bukit Aman, beliau dikawal ketat dalam perjalanan ke Johor Bahru dan kemudiannya diserahkan kepada polis Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Koswe sebelah Singapura.

Atas dakwaan sebagai pengasas Omega, beliau ditahan tanpa bicara di bawah Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) atau CLTPA.

Yan Bai, kini 51 tahun, pernah ditahan di Penjara Chia Keng di Yio Chu Kang Road pada 1987 di bawah akta sama kerana disyaki terlibat dalam rangkaian pengedaran heroin.

Beliau yang pernah dua kali keluar masuk pusat pemulihan dadah (DRC) menyimpan dendam kerana mendapati pengedar Melayu, termasuk beliau, ditindas sindiket dadah kaya raya yang dikuasai kumpulan samseng.

Atas pemikiran itulah beliau menubuhkan kumpulan Singapura 14, hasil perbincangan dengan beberapa banduan penjara itu yang kebanyakannya tinggal di sekitar Geylang.

Namun, kumpulan itu dibubarkan selepas dua tahun kerana sesetengah anggota melanggar etika gengster – terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Yan Bai, yang disokong enam banduan Melayu yang lain, kemudian mengangkat sumpah sehidup semati dengan Al-Quran untuk menubuhkan kumpulan Omega sempena sambutan hari jadinya pada 23 September 1989.

Dengan penubuhan kumpulan yang menarik penyertaan kian ramai banduan, beliau “turun cakap” dengan kepala gengster yang lain bagi membolehkan banduan Islam mengangkat wuduk di tandas antara 7 dengan 8 malam di penjara itu.

“Sebelum itu, susah nak ambil wuduk pada waktu maghrib dan isyak. Bayangkan lebih 30 orang berebut nak pakai tempat tandas yang hanya ada sebuah. Ada kepala gengster yang tak setuju tapi saya jumpa mereka one to one. Mereka tak berani angkat muka. Akhirnya semua ikut peraturan yang dipersetujui itu dan tiada lagi pergaduhan.

“Kalau dalam penjara dulu, saya pastikan banduan Muslim dapat melakukan ibadah. Di luar, saya pastikan anggota kumpulan gengster Melayu tidak ditindas dan dibuli. Dunia gengster tak ada diplomasi!”

Omega adalah singkatan bagi Only Malays Enter Gangster Association atau Hanya Melayu Masuk Persatuan Gengster.

Ditanya apa yang beliau paling kesali sepanjang 30 tahun bergelumang dalam dunia kongsi gelap, beliau berkata:

“Melayu bergaduh dengan Melayu dan Melayu bunuh Melayu!”

No comments:

Post a Comment