Wednesday, 29 June 2016

Merendah Diri di Hadapan Allah s.w.t

Pernah diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab r.a. tatkala menjadi Khalifah, pada suatu malam ketika beliau sedang meronda dan melihat keadaan kota dan masyarakat yang tinggal di bawah pemerintahannya, beliau terdengar bacaan sepotong ayat Al-Quran daripada salah satu rumah yang dilaluinya. Ayat yang didengarinya apa yang tertera di dalam Surah At-Thur ayat 7-8:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku; Tidak ada sesiapapun yang dapat menolaknya.”

Ketika terdengar bacaan tadi, hati Saidina Umar tersentak. Beliau berhenti, dan kakinya merasa sangat berat seakan tidak dapat menampung berat badannya. Beliau lalu terpaksa duduk di lantai sambil menangis, sehinggakan beliau perlu dibantu untuk pulang ke rumahnya.

Saudaraku, apakah yang membuatkan pemimpin segagah ini menjadi begitu hiba? Ia tidak lain adalah kerana kesedaran dan rendah dirinya akan kekuasaan Allah s.w.t. Ketika mendengar ayat ini, beliau merasakan bahawa ayat itu ditujukan kepadanya dan bahawa dialah yang dimaksudkan dalam ayat itu sebagai hamba yang akan menerima azab Allah. Beliau merasa khuatir akan dosa yang mungkin pernah dilakukannya dan bukan melihat kepada dosa orang lain.

Subhanallah saudara! Inilah Sayyidina Umar ibn Al-Khattab. Bukankah beliau dijanjikan syurga? Beliau tidak dikuasai kesombongan meskipun kedudukan beliau di sisi Nabi s.a.w. Beliau tetap merasa getaran di dalam hatinya apabila mendengar ayat tentang azab Allah kerana beliau melihat kepada dirinya dan menumpukan pada kelemahan dirinya. Ini adalah keadaan orang yang dijanjikan syurga. Bagaimana diri kita pula saudara? Hamba Allah yang tiada sebarang jaminan syurga. Janganlah kita masih merasa angkuh kepada Allah.

Selain daripada merendah diri sesama manusia, tawaduk yang paling perlu untuk kita hayati adalah untuk merendahkan diri dan hati kita kepada Allah s.w.t. Apabila kita merendahkan diri dan jiwa kita kepada Allah, maka seluruh anggota kita yang lain akan juga ikut tunduk merendah diri, kita bakal menjadi insan yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment